My Add

Thursday 15 August 2013

500 pelajar Malaysia di tiga universiti di Kaherah dalam keadaan berjaga-jaga

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Ogos, 2013: Lebih kurang 500 pelajar Malaysia yang menuntut di tiga universiti dan menetap di sekitar Kaherah, kini berada dalam keadaan berjaga-jaga setelah pasukan keselamatan Mesir bertindak melancarkan operasi pembersihan terhadap penunjuk perasaan probekas Presiden, Mohammed Mursi, pagi tadi.

Menurut Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir, Abdul Rahim Samad, kesemua pelajar yang belajar di Fakulti Perubatan Universiti Ain-Shams, Universiti Al-Azhar dan Universiti Cairo kini hanya berada di dalam rumah selepas kelas tamat.

Katanya, jarak antara dua kem utama penunjuk perasaan dengan penempatan pelajar juga begitu dekat iaitu sekitar dua hingga tiga kilometer sahaja.

"Alhamdulillah, kesemua pelajar di Kaherah selamat dan tidak terlibat dalam tragedi yang mengorban lebih 2,000 penduduk Mesir itu.

"Kami juga akui semua berasa cemas dengan situasi itu, namun mengambil langkah berwaspada dengan perkembangan di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda serta mengambil keputusan untuk tidak terlibat dalam situasi terbabit kerana bimbang akan keselamatan semua pelajar Malaysia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kira-kira 2,200 maut, sementara lebih 10,000 yang lain cedera selepas pasukan keselamatan Mesir melancarkan tindakan kekerasan yang disokong dengan kereta perisai, helikopter, penembak tepat serta jentolak di kem penyokong Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda di Kaherah hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sebelum kejadian itu berlaku, pihak persatuan telah pun mengeluarkan pekeliling kepada pelajar-pelajar yang menetap di sekitar dataran berkenaan supaya berpindah bagi mengelakkan situasi buruk.

"Terdapat 30 hingga 40 pelajar yang tinggal di sekitar Dataran Rabaa dan mereka telah pun bersetuju untuk berpindah ke lokasi berjauhan sedikit sebelum ini," katanya.

Ditanya tentang keadaan di sekitar Kaherah, Abdul Rahim menjelaskan, situasi di situ pada hari ini sangat berbeza berbanding hari-hari biasa.

"Hari ini adalah hari bekerja tetapi selepas berlaku tragedi itu, keadaan berubah seperti hari cuti umum. Banyak kedai-kedai tutup manakala penduduk juga tidak keluar rumah," katanya.

Kata Abdul Rahim, kesemua pelajar perubatan kini mengikuti perkembangan situasi di Mesir melalui Facebook dan Twitter bagi membolehkan pihak mereka mengambil segala langkah yang patut jika keadaan semakin genting.

Tambahnya, kesemua pelajar perubatan kini bersedia untuk pulang ke Malaysia jika keadaan semakin meruncing.

"Majoriti pelajar di Kaherah pulang ke Malaysia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan yang tinggal hanya ratusan orang sahaja di sini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment