My Add

Thursday 15 August 2013

Peniaga ditembak dari jauh - Polis

KUALA TERENGGANU, RABU, 14 Ogos, 2013: Polis masih menyiasat motif seorang peniaga nasi kukus yang mati ditembak di hadapan restorannya di Jalan Besar Kampung Cacar, Paka, Dungun awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, selain rompakan, pihaknya tidak menolak kemungkinan kes itu mempunyai kaitan dengan motif lain.

"Berkemungkinan juga mangsa dibunuh akibat masalah perniagaan, hutang dan sebagainya," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes seorang peniaga nasi kukus, Mohd. Lutfi Mansor, 50, maut selepas ditembak di bahagian dada dan bahu kiri dalam kejadian yang berlaku di hadapan restorannya kira-kira pukul 4.30 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, suspek turut melarikan trak pikap jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran CCL 5445 milik mangsa bersama beberapa barangan berharga di dalamnya termasuklah sejumlah wang tunai, telefon bimbit, kasut serta beg tangan.

Manoharan berkata, berdasarkan siasatan awal yang dibuat, pihaknya percaya mangsa telah ditembak dari jarak jauh.

"Daripada keterangan beberapa saksi yang diambil, tiada seorang pun yang melihat atau mendengar tembakan dilepaskan," katanya

Pada masa yang sama, beliau turut menafikan beberapa laporan yang mengatakan satu pergelutan telah berlaku antara mangsa dengan suspek sebelum dia ditembak.

Katanya, pihak polis telah menubuhkan pasukan khas yang diketuai beliau sendiri bagi menyiasat kejadian itu secara lebih terperinci.

"Buat masa ini, kita mempunyai beberapa petunjuk penting berhubung kejadian itu dan percaya kes ini akan dapat diselesaikan tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis sudah merekodkan keterangan ahli keluarga mangsa yang tinggal di tingkat atas restoran tempat mangsa ditemui mati semalam.

Katanya, polis percaya ada individu yang boleh memberikan maklumat mengenai kejadian itu memandangkan insiden tembakan berlaku berhampiran jalan utama dan berharap mana-mana individu yang mendengar bunyi tembakan atau melihat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment