My Add

Monday 19 August 2013

70,000 hadiri Rumah Terbuka Perdana Menteri

 *ORANGramai dalam majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang, semalam.
PEKAN, SABTU, 17 Ogos, 2013: Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 70,000 rakyat daripada pelbagai kaum dari seluruh negara.

Rumah terbuka yang bermula pukul 10 pagi dan berakhir 2 petang itu menyaksikan orang ramai daripada pelbagai kaum saling beramah mesra selain menikmati pelbagai juadah di 200 kios makanan serta minuman disediakan.

Berkonsepkan 'Pekan Bandar Diraja, Hidangan Pelbagai Rasa, Bersama PM Ramah Mesra', majlis itu menyajikan pengunjung dengan pelbagai jenis hidangan serta persembahan.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua'dzam Sultan Ahmad Shah.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ishak Muhammad.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri yang segak memakai baju berwarna hijau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama pemimpin UMNO Bahagian Pekan turut beramah mesra dengan rakyat pelbagai lapisan.

Keseluruhannya, lebih 160 usahawan tempatan terlibat menyediakan beberapa juadah istimewa seperti opor, laksa Pahang dan tidak terkecuali puding raja serta ikan patin masak tempoyak yang menjadi tumpuan orang ramai pada majlis itu.

Selain itu, bagi meraikan tetamu jemputan terutama penduduk di sekitar Pekan dan pemimpin di setiap peringkat, sebanyak 50 ekor kambing panggang turut disediakan.

Bagi 40,000 pengunjung terawal pula mereka menerima bungkusan kuih raya sebagai cenderamata daripada Perdana Menteri.

Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis seperti Awie, Nash, Ramli Sarip, Hafiz Hamidun, Alif Aziz dan Ainan Tasneem manakala Raja Azura dan Lan Pet Pet bertindak sebagai pengacara.

Dalam majlis itu juga, Najib bersama isteri turut menyampaikan sumbangan kepada 120 bakal jemaah haji dan memberi duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Sementara itu, Perdana Menteri ketika berucap pada majlis itu merakamkan terima kasih kepada semua rakyat yang hadir pada majlis itu.

"Kita dapat teruskan tradisi rumah terbuka di peringkat Parlimen yang penuh meriah ini kerana sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak jawatankuasa dan agensi kerajaan yang terlibat dalam penganjuran majlis ini," katanya.

Bagi pengunjung pula, program itu merupakan acara yang wajib dikunjungi setiap tahun oleh mereka.

Sajian makanan yang disediakan pada majlis itu menarik minat mereka untuk hadir selain dapat berjumpa dengan Perdana Menteri secara lebih dekat.

Menurut seorang pengunjung dari Kuantan, Mazlan Madzim, 42, ini merupakan kali kedua dia datang ke rumah terbuka Perdana Menteri.

"Menu yang paling saya suka adalah kambing panggang. Walaupun orang beratur panjang saya tetap akan tunggu," katanya.

Suzila Abdullah, 40, pula berkata, rumah terbuka itu wajib dikunjungi oleh dia sekeluarga setiap tahun.

"Selain menikmati juadah yang disediakan saya juga dapat melihat dengan lebih dekat Perdana Menteri yang sebelum ini hanya boleh dilihat di kaca televisyen," katanya.

Bagi seorang pengunjung dari Kuantan, Roswadi Abdul Wahab, 43, dia gembira kerana dapat bersama-sama dengan kaum lain meraikan sambutan hari raya dengan aman. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment