Bawa pulang penuntut di Mesir jika keadaan tambah buruk
PEKAN, SABTU, 17 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih 3,000 penuntut Malaysia di Mesir akan dibawa pulang ke tanah air dengan segera sekiranya keadaan di negara tersebut bertambah buruk.
Menurut Perdana Menteri, semua agensi terlibat telah bersiap sedia dari segi logistik pada bila-bila masa jika diarahkan membawa pulang penuntut terbabit ke tanah air.
Malah kata Najib, Ops Piramid juga akan digerakkan sekiranya keadaan memaksa walaupun akan melibatkan perbelanjaan besar.
"Pendirian kerajaan dalam hal ini kita mesti utamakan keselamatan pelajar. Setakat ini kalau mereka tak terlibat dalam tunjuk perasaan menyokong mana-mana pihak, mereka berada dalam keadaan selamat.
"Mereka juga tak harus masuk kawasan yang ada perhimpunan dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.
Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan lebih 70,000 tetamu.
Menurut Najib, beliau telah meminta agensi terlibat supaya melakukan persiapan itu kerana keadaan negara tersebut berada di ambang perang saudara.
"Siapa nak balik kita akan bantu, bukan sahaja pelajar tetapi juga rakyat Malaysia yang lain," jelasnya.
Ditanya kemungkinan kedutaan Malaysia di Kaherah ditutup dalam masa terdekat, Najib berkata: "Belum dan ketika ini tiada mana-mana negara yang berbuat demikian".
Terdahulu dalam ucapannya Najib berkata, apa yang berlaku di Mesir perlu dijadikan iktibar oleh rakyat negara ini bahawa perubahan yang mahu dilakukan tidak semestinya membawa kebaikan.
"Kalau kita mahukan perubahan, tetapi perubahan itu tidak menjamin membawa kebaikan akan menyebabkan pergolakan berlaku sehingga tiada penyudahnya. Maknanya, ada perubahan membawa kebaikan dan ada juga yang boleh membawa huru-hara kepada negara," katanya.
Najib berkata, amalan demokrasi menuntut rakyat mengamalkan nilai-nilai baik demi keamanan dan kesejahteraan negara.
"Kita perlu menolak kekerasan dan sifat ekstrem kerana kedua-duanya mampu mengugat keselamatan dan menimbulkan rasa ketakutan terhadap rakyat," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment