My Add

Saturday 17 August 2013

Ahli Parlimen tidak perlu isytihar harta

PENDANG, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada keperluan bagi Ahli Parlimen untuk mengisytiharkan harta atau liabiliti mereka setiap tahun kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mereka tidak mempunyai kuasa eksekutif.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga tidak pernah menghalang Ahli Parlimen untuk menjalankan perniagaan selagi ia tidak melibatkan konflik kepentingan.

"Ahli parlimen tak ada kuasa eksekutif, jadi mereka boleh jalankan perniagaan dan sebagainya serta kita tak ada halangan asalkan tidak ada konflik kepentingan.

"Sekarang ini kita tetapkan anggota pentadbiran kerajaan sahaja yang perlu isytihar aset masing-masing dan pada saya, aset yang mereka isytihar itu beri ruang kepada SPRM untuk semak walaupun tiada aduan," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan dan Pelancaran Pelan Integriti Felda serta Majlis Hari Raya 2013 di Felda Sungai Tiang di sini hari ini.

Najib mengulas mengenai cadangan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Datuk Johan Jaaffar yang berpendapat semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mengisytiharkan harta setiap tahun kepada SPRM bagi membuktikan komitmen terhadap perang melawan rasuah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment