My Add

Saturday 17 August 2013

Felda terus cari pelaburan

Oleh SAFINA RAMLI

 * NAJIB Tun Razak bersalaman dengan peneroka Felda dalam Majlis Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan, pelancaran Pelan Integriti Felda serta Majlis Hari Raya 2013 di Felda Sungai Tiang, Pendang, semalam. - UTUSAN/Safrizal Azmi
PENDANG, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan terus mencari peluang pelaburan baharu yang memberi pulangan lumayan untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Felda pada masa akan datang.

Perdana Menteri berkata, keuntungan daripada pelaburan jangka panjang atau pendek tersebut sebahagiannya akan digunakan untuk pelaburan baharu manakala sebahagian lain untuk memberi faedah dalam bentuk dividen serta pemberian program sosioekonomi kepada warga Felda dari semasa ke semasa.

"Kita ada banyak idea tetapi sekarang kita beri tumpuan kepada pengukuhan dana Felda untuk jangka panjang berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV).

"Kita mempunyai dana yang agak besar jadi kita kena gunakan dengan penuh hemah untuk jadikan Felda berjaya, di samping dapat memberi dividen yang semakin tinggi dan juga berikan program sosio ekonomi kepada peneroka serta mereka yang bukan peneroka juga," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan dan pelancaran Pelan Integriti Felda serta Majlis Hari Raya 2013 di Felda Sungai Tiang di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurut Perdana Menteri, Felda juga telah menyahut seruan kerajaan untuk mengamalkan dan menyokong nilai integriti supaya menjadi budaya di dalam Felda itu sendiri.

"Pelan integriti ini sebagai menyahut seruan kerajaan supaya dalam setiap agensi dan badan kerajaan pengukuhan nilai integriti ini menjadi asas tunjang kepada kejayaan sesebuah agensi.

"Saya harap dengan pelan ini ia akan mengelakkan berlakunya salah guna kuasa di dalam Felda dan akan menjadikan Felda lebih berjaya serta nama Felda disanjung di peringkat antarabangsa," jelasnya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Najib berkata, Felda adalah contoh sebenar kejayaan transformasi di negara ini apabila membawa banyak perubahan kepada nasib peneroka sejak 57 tahun Felda diwujudkan.

Kata beliau, formula untuk kejayaan transformasi Felda melibatkan transformasi individu, transformasi fizikal dan transformasi minda yang boleh digunakan sebagai contoh kepada pihak lain.

"Daripada sebuah agensi kecil yang memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal tanah, Felda kini merupakan syarikat multinasional di peringkat antarabangsa.

"Daripada isu-isu kecil seperti kerja-kerja pembaikan jalan raya kini Felda menangani isu-isu seperti pelaburan di Kanada dan hotel dan restoran di Mekah.

"Transformasi dalam Felda boleh dianggap yang terbaik atau di antara yang terbaik kerana ia jelas menggambarkan maksud sebenar transformasi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment