My Add

Friday 2 August 2013

Akhbar Singapura kutuk Malaysia

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Singapura khususnya pihak media di negara itu digesa bersikap matang dan profesional apabila menyentuh isu-isu berkaitan negara jiran bagi mengelak tercetusnya 'masalah' dalam hubungan diplomatik sesama negara.

Perkara itu dinyatakan Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail ketika merujuk laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris Singapura yang dilihat mengutuk Malaysia menerusi laporannya Welcome To Malaysia Where... Death Is Cheap and Staying Alive Costly.

Menurut beliau, negara jiran itu sememangnya akan mencari apa sahaja peluang untuk membesar-besarkan perkara negatif mengenai Malaysia.

"Ini memang sikap mereka dan tidak menghairankan. Bagi saya tindakan seperti ini adalah tidak wajar, kalau nak main politik antarabangsa, biarlah profesional.

"Jika bercakap soal jenayah, di Singapura pun ada jenayah. Jenayah bukannya 'khas' untuk sesebuah negara sahaja, jenayah berlaku di mana-mana sahaja,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebuah blog menyiarkan gambar yang dirakam oleh seorang rakyat Malaysia mengenai laporan sebuah akhbar Singapura dengan tajuk berita Welcome To Malaysia Where... Death Is Cheap and Staying Alive Costly.

Laporan itu dipercayai merujuk kejadian tembakan oleh pembunuh upahan dengan terbaharu meragut nyawa pengasas Ambank Berhad, Hussain Ahmad Najadi.

Mohd. Hilmi berkata, penyiaran laporan berita sedemikian boleh menjejaskan imej Malaysia dari segi pelancongan, ekonomi dan keselamatan.

"Kalau nak cari perkara negatif tentang Singapura memang banyak tetapi kita tidak bersikap begitu kerana kita berfikiran matang dan profesional.

"Jadi, berhentilah daripada 'menyibuk' tentang negara lain,'' tegasnya.

Mengulas isu sama, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya untuk mengekang kejadian tembak yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

"Saya fikir kita tak dapat mengelak daripada laporan berita sedemikian kerana mereka (Singapura) pernah laporkan Johor Bahru sebagai tidak selamat.

"Pihak lain akan ambil kesempatan untuk menokok tambah yang akhirnya memburukkan imej negara. Oleh yang demikian, kita perlu bertindak profesional dan tidak mengambil ringan isu-isu berkaitan keselamatan,'' jelasnya.

Katanya, dengan Malaysia bakal menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2014 dan bercita-cita menjadi pusat pelaburan serta pendidikan antarabangsa, isu-isu keselamatan seharusnya ditangani dengan baik dan pantas. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment