My Add

Friday 2 August 2013

Empat pegawai Jakim maut nahas

 * DUA jenazah mangsa kemalangan mengorbankan empat nyawa dibawa keluar daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah lori balak di Skrang dekat Sri Aman semalam. Kemalangan itu mengorbankan empat pegawai Jakim yang dalam perjalanan ke Betong untuk menghadiri program berbuka puasa bersama masyarakat di sana.
SRI AMAN, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Empat pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sarawak termasuk Penolong Pengarahnya maut manakala dua lagi cedera termasuk seorang parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori balak di Skrang dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang ketika Ibrahim Hailee, 35, bersama lima lagi pegawai Jakim dalam perjalanan ke Betong untuk menghadiri program berbuka puasa bersama masyarakat di sana.

Ibrahim yang memandu MPV jenis Toyota Innova berkenaan serta tiga lagi mangsa, Harliani Hanani, 29; Halimah Hamrie, 30; serta Qurratu Aini Rolfandy, 23, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Mangsa yang parah dan dilaporkan kritikal ialah Fakih Ikhwan yang kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS), manakala yang cedera ringan ialah Firdaus Ahmad, 23, dan dirawat di Hospital Betong.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mat Jusoh Mohamad memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku selepas lori balak tanpa muatan itu gagal dikawal ketika melalui satu selekoh sebelum masuk ke laluan bertentangan

“Kejadian itu menyebabkan MPV dipandu Ibrahim yang menghala ke Sarikei gagal mengelak lori berkenaan lalu bertembung.

“Akibat pertembungan itu, MPV mangsa remuk dan terhumban ke bahagian kanan jalan. Pemandu lori terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mat Jusoh, mayat kesemua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment