My Add

Friday 2 August 2013

Akta baharu perlu ganti EO perangi jenayah berat

PETALING JAYA, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Polis meminta masyarakat menilai dengan baik cadangan untuk mewujudkan akta baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO) kerana pasukan itu amat memerlukannya untuk membendung jenayah berat yang kerap berlaku kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, semua pihak wajar meneliti segala saranan yang dikemukakan pihak tertentu terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Saya minta masyarakat menilai cadangan itu, terima atau tidak adalah hak masing-masing tetapi bagi kami (PDRM), kami amat memerlukannya bagi memudahkan kami menjalankan tugas mencegah jenayah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Balik Kampung Rumah Selamat Keluarga Sejahtera di Sunway Pyramid di sini hari ini.

Mohd. Bakri menegaskan, akta berkenaan diperlukan polis memandangkan dua akta iaitu Akta Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) telah dimansuhkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menghantar draf pertama set undang-undang baru untuk menggantikan EO ke Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi sebaliknya menyatakan memadai dengan akta sedia ada, cuma hanya perlu dipinda.

Tun Zaki turut mencadangkan agar beberapa akta seumpama itu diperbaiki bagi memberi kuasa kepada polis untuk memerangi jenayah berat dan bukannya memperkenalkan satu akta baharu yang berfungsi sama seperti EO. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment