My Add

Friday 2 August 2013

Pengukuhan makro, fiskal dalam Bajet 2014

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah terperinci untuk mengukuhkan kedudukan makro dan fiskal negara dalam pembentangan bajet akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan melihat pelbagai pilihan untuk pelaksanaan dasar-dasar ekonomi yang sesuai bagi menangani kebimbangan yang wujud pada waktu ini.

"Kerajaan amat memahami keperluan untuk mengukuhkan kedudukan makro dan fiskal ekonomi negara.

"Terdapat dua bahagian dalam penilaian Fitch Ratings iaitu bahagian pertama adalah mengesahkan penarafan terkini Malaysia yang membawa sesuatu yang positif, manakala bahagian kedua, semakan semula mengenai jangkaan mengenai apa yang kerajaan telah lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan identiti jenama ikonik baharu Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Najib diminta menjawab persoalan berkaitan penarafan agensi antarabangsa, Fitch Ratings, semalam yang telah menyemak turun penarafan kredit negara.

Fitch Ratings telah menyemak semula jangkaan ekonomi Malaysia kepada negatif berbanding stabil, kelmarin.

Penilaian semula jangkaan kepada negatif itu hasil pentaksiran Fitch terhadap prospek perubahan belanjawan dan penggabungan fiskal bagi menangani kelemahan dalam kewangan umum.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama Zeti Akhtar menambah, Malaysia masih mempunyai masa untuk membetulkan sebarang kelemahan yang wujud.

Katanya, hal itu perlu ditangani dengan segera berikutan keadaan persekitaran dunia yang semakin mencabar.

"Kami akan merancang sesuatu untuk menguruskan ekonomi negara bagi meningkatkan potensi kepada pertumbuhan kekal,'' ujarnya.

Tambah Zeti Akhtar, Malaysia mempunyai kapasiti dan keupayaan bagi menangani perkara itu secara berperingkat-peringkat dan menurut urutan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment