My Add

Friday 2 August 2013

Alat kesan leptospirosis dicipta

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA

 * DR. ABDUL Rani Bahaman menunjukkan alat pengesan leptospirosis hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia di Kuala Lumpur semalam. - utusan/NOOR AZLINA JAAFAR
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan alat pengesan wabak kencing tikus atau leptospirosis yang dikenali sebagai LeptoScan2.

Ketua Pusat Penyelidikan Hidupan Liar dan Pemuliharaan Fakulti Perubatan Vaterinar UPM, Datuk Dr. Abdul Rani Bahaman berkata, alat yang boleh digunakan ke atas manusia dan haiwan ternakan itu diyakini 100 peratus kesahihannya dengan berdasarkan kaedah pengunaan yang betul.

Kata beliau, alat tersebut dapat mengenal pasti wabak kencing tikus dalam badan seseorang hanya dalam tempoh tujuh hari berbanding ciptaan pertama UPM sebelum ini yang memerlukan sekurang-kurangnya 21 hari bagi tujuan yang sama.

''Cara menggunakan alatan itu mudah. Anda hanya perlu meletakkan setitik darah pesakit di bahagian hujung papan itu kemudian tunggu kira-kira 10 hingga 15 minit dan keputusannya boleh diketahui dengan melihat pada tanda negatif atau positif di bahagian papan tersebut.

''Sesiapa sahaja boleh menyimpan dan menggunakan alatan tersebut. Tetapi kumpulan sasaran adalah lebih kepada perenang, petani, peladang, nelayan, tentera, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan mereka yang gemarkan aktiviti lasak di dalam hutan,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Rani berkata, alatan pengesan yang mempunyai perlindungan harta intelek itu bagaimanapun belum berada di pasaran berikutan pihaknya masih dalam proses perbincangan dan pemilihan syarikat bagi tujuan pemasaran.

Menurutnya, alatan tersebut amat praktikal untuk mengurangkan kematian ekoran wabak kencing tikus yang semakin menular kini memandangkan antibodi pesakit kebiasaannya dapat bertahan untuk tempoh tujuh hari sahaja.

Beliau berkata, leptospirosis kini merupakan wabak paling mudah dijangkiti kepada manusia dan haiwan ternakan pada bila-bila masa ekoran gaya hidup masyarakat yang kian berubah terutama dalam aspek menjaga kebersihan.

Lebih membimbangkan katanya, leptospirosis mudah dijangkiti ke atas haiwan ternakan kerana wabak tidak mati ke atas haiwan seperti yang berlaku ke atas manusia sebaliknya wabak yang ada pada haiwan akan terus berada dalam organ dan seterusnya menjadi pembawa wabak.

''Wabak kencing tikus mudah terkena pada kulit terutama di bahagian mata, hidung dan mulut kerana kawasan itu adalah kulit paling lembut. Wabak mudah dijangkiti melalui air. Kerana itu kolam renang, lopak air, banjir dan kawasan hutan amat bahaya kepada manusia dan haiwan ternakan.

''Statistik terkini menunjukkan sebanyak 30 peratus kawasan di sekitar Kuala Lumpur kini adalah kawasan positif mempunyai leptospirosis,'' katanya.

Menurutnya, laporan kematian ke atas manusia akibat wabak kencing tikus di negara ini tidak pernah menjadi sifar sejak wabak dikenal pasti pada 1926 iaitu 22 kematian setakat tahun ini, 48 pada tahun lalu dan 69 pada 2010. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment