My Add

Friday 2 August 2013

Mirac sokong tambahan waktu pembelajaran subjek BM dan BI

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Cadangan menambah waktu pembelajaran subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan mampu memastikan pelajar dapat menguasai kedua-dua bahasa itu dengan lebih cemerlang.

Sambil menyambut baik cadangan itu, Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (Mirac) yang dianggotai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Cina 1Malaysia (Percisama) dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam) berharap dasar tersebut diterima secara positif semua pihak.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Abd. Rahman Abu Bakar berkata, cadangan tersebut dapat melahirkan pelajar sekolah kebangsaan yang mampu menguasai bahasa rasmi dan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa global dengan baik.

Menurut beliau, tindakan sesetengah pihak yang menentang dasar itu dilihat seolah-olah cuba menyekat pelajar untuk fasih berbahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.

"Kita bimbang pelajar di sekolah kebangsan yang kurang fasih berbahasa Melayu dan Inggeris akan menjarakkan diri dengan kaum lain setelah dewasa. Ini sekali gus menggugat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Kementerian Pelajaran untuk menambah waktu pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah jenis kebangsaan di negara ini.

Sementara itu, Presiden Percisama, Choy Chee Wai berkata, waktu yang diperuntuk bagi kedua-dua subjek tersebut di sekolah jenis kebangsaan Cina ketika ini tidak mencukupi dalam usaha menjadikan pelajar Cina fasih berbahasa kebangsaan.

"Kami sedia maklum kebanyakan pelajar Cina sangat lemah berbahasa Melayu dan menganggap subjek tersebut sangat sukar untuk lulus.

"Oleh itu, ibu bapa terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi menghantar anak-anak ke pusat tuisyen," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam), U. Thamotaran berkata, cadangan tersebut tidak sepatutnya dipolitikkan mana-mana pihak.

Tambah beliau, pihaknya turut melihat cadangan itu dapat membantu pelajar India menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

"Kami juga mengadakan pusat tuisyen di kawasan pedalaman yang mana kebanyakan pelajar India kurang bercampur dengan kaum lain dalam usaha menggalakkan mereka memperkasa bahasa Melayu," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment