My Add

Friday 2 August 2013

Ambil iktibar kejayaan Tun Razak

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Kerajaan bersetuju mengambil iktibar daripada kebijaksanaan penyatuan nasional yang dirintis oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada era pentadbiran Perdana Menteri kedua itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, perkara itu akan diambil kira oleh pasukan khas yang dipertanggungjawab merangka Pelan Penyatuan Nasional dan juga diserapkan dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN).

Katanya, cadangan dan idea bernas daripada orang ramai menerusi perbincangan meja bulat juga amat dialu-alukan untuk menjayakan penyatuan nasional rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Penyatuan nasional merupakan tanggungjawab semua pihak untuk membantu kerajaan mengurangkan soal polarisasi kaum dan mengukuhkan hubungan antara agama di negara ini," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah yang bertanyakan sama ada kerajaan akan mengambil contoh daripada penyatuan nasional yang digerakkan Abdul Razak untuk memulihkan hubungan antara kaum di negara ini selepas tragedi 13 Mei 1969.

Sementara itu, menurut Firdaus, pelbagai kejayaan telah dicapai Perdana Menteri kedua itu termasuk mewujudkan kestabilan politik, kerukunan hidup dan pembangunan sosioekonomi yang kondusif bagi era 1970-an.

"Kejayaan ini perlu ditinjau kembali, dipelajari dan diambil kira untuk dijadikan pedoman dan panduan bagi penyatuan nasional sebagaimana Dasar Ekonomi Baharu (DEB) telah berjaya membasmi kemiskinan dan menyusun kembali masyarakat," katanya.

Katanya, kerajaan juga perlu mengambil iktibar daripada Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan yang telah dilaksanakan pada era Abdul Razak untuk menggerakkan perpaduan rakyat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment