My Add

Friday 2 August 2013

Ubat palsu RM12.4j dirampas sehingga Jun ini

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Sebanyak 18,592 ubat palsu dan produk perubatan tidak berdaftar telah dirampas dalam tempoh tahun ini sehingga Jun lepas membabitkan nilai RM12.4 juta.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, tindakan tegas itu diambil oleh Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan untuk membendung kegiatan ubat palsu dan tiruan di negara ini.

"Sepanjang 2012, sebanyak 40,006 produk tidak berdaftar telah dirampas yang bernilai RM23.7 juta.

"Kawalan ketat di pintu masuk negara oleh penguatkuasa farmasi di pintu masuk negara seperti di pelabuhan, lapangan terbang dan sempadan telah membantu menghalang kemasukan produk tidak berdaftar di negara ini," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Lim Nget Yoon yang bertanyakan langkah-langkah Kementerian Kesihatan untuk menghapuskan pembuatan dan penjualan ubat-ubat palsu di negara ini.

Menurut Hilmi, di bawah Akta Jualan Dadah 1952, semua ubat-ubatan wajib berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PKBD) dan dilekatkan label keselamatan hologram Meditag sebelum dipasarkan kepada pengguna.

Jelas beliau, selain penguatkuasaan, kementeriannya juga menggerakkan program kesedaran dengan sebanyak 1,209 aktiviti telah diadakan tahun lalu melibatkan 482 ceramah, 637 pameran dan 90 dialog. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment