My Add

Thursday 15 August 2013

Badan Bertindak TPPA gesa kaji semula perjanjian

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Ogos, 2013: Badan Bertindak Bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menggesa kerajaan mengkaji semula rancangan untuk menandatangani perjanjian berkenaan yang didakwa bakal memberi kesan negatif kepada negara dan rakyat.

Wakil gerakan berkenaan, Mohd. Nizam Mahshar mendakwa, terdapat beberapa perkara yang membimbangkan pihaknya sekiranya kerajaan mengambil keputusan menandatangani TPPA, termasuklah membabitkan ruang polisi serta kedaulatan negara.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memberitahu, perjanjian tersebut juga bersifat berat sebelah kerana memberi ruang yang lebih kepada syarikat multinasional untuk 'beroperasi' di negara ini sehingga boleh menyebabkan kepentingan syarikat tempatan terpinggir.

"Sekiranya Malaysia terlibat dalam TPPA, polisi perundangan di negara ini boleh diubah dan menjadi beku bagi diselaraskan dengan peraturan perjanjian itu, sekali gus amat merugikan kita kerana terpaksa mengikut kehendak pihak asing.

"Saya faham ada pihak memberi jaminan bahawa tidak akan ada perubahan dalam aspek perundangan negara tetapi hujah itu tiada asasnya dan telah dibuktikan sebaliknya. Dalam perjanjian pelaburan sebelum ini, negara yang telah menandatangani perjanjian telah diminta mengubah undang-undang negara mereka," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selain MTEM, Badan Bertindak Bantah TPPA turut dianggotai sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuklah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Majlis Perundingan Melayu (MPM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Majlis Aids Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, sekiranya Malaysia menandatangani TPPA, beberapa kebimbangan mungkin berlaku, meliputi penghapusan halangan tarif dan bukan tarif yang tertakluk kepada barangan, perkhidmatan dan pelaburan.

"Malaysia dilihat tidak akan mendapat hasil yang lebih dengan penghapusan tarif ini terutamanya dalam industri automotif dan juga beras yang boleh merugikan golongan petani," jelasnya.

Selain itu, menurut Mohd. Nizam, perkara-perkara lain yang dibimbangi memberi kesan negatif kepada negara sekiranya TPPA ditandatangani ialah pemerolehan kerajaan, hak pekerja, keadaan persekitaran dan kemasukan ubat-ubatan luar.

Di samping itu, katanya, turut dibimbangi termasuklah polisi ekonomi serta kawalan modal, perusahaan kecil dan sederhana, kesihatan awam termasuklah kesan kepada kawalan tembakau dan capaian kepada pengetahuan.

"Kami difahamkan satu taklimat khas Kabinet berkaitan TPPA akan berlangsung esok dan berharap pihak kerajaan membuat keputusan sewajarnya dengan menilai semula kesan yang boleh berlaku sekiranya menandatanganinya.

"Kebimbangan-kebimbangan yang kami nyatakan tidak boleh dikompromi kerana bimbang boleh memudaratkan masa depan negara," ujar beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment