My Add

Friday 2 August 2013

Bakti sumbang barangan makanan RM350,000 kepada anggota ATM

 


* ROSMAH Mansor sebak ketika membaca sajak hasil nukilan beliau mengenai jasa dan pengorbanan wira negara dalam Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM di Wisma Kementerian Pertahanan,semalam
.

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) menyumbangkan barangan makanan bernilai RM350,000 kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat pada musim perayaan.

Yang Dipertua Bakti, Datuk Seri Rosmah Mansor berkata, cenderamata yang dikirimkan itu diharap dapat membantu mengubat kerinduan warga ATM kepada keluarga ketika bertugas di perbatasan.

"Sumbangan itu juga akan menaikkan semangat bahawa jasa mereka sentiasa dihargai dan disanjung oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bungkusan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, timbalannya, Datuk Rahim Bakri, Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Tambah Rosmah, Bakti turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada enam anggota ATM yang tercedera ketika insiden pencerobohan Lahad Datu, baru-baru ini.

Katanya, walaupun nilai pengorbanan dan semangat juang itu tidak boleh diukur dengan pingat atau wang ringgit, namun ia sedikit sebanyak mampu meringankan beban anggota ATM yang tercedera.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Rosmah mencuit perasaan hadir apabila menitiskan air mata ketika mendeklamasi sajak mengenai 'Pahlawan'.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya menerima 60 sumbangan wang tunai, barangan dan makanan bernilai RM2.3 juta untuk diagihkan kepada 20,000 anggota ATM yang bertugas di musim perayaan.

Katanya, daripada sumbangan itu pihaknya menyediakan kira-kira 20,000 beg galas berisi kuih-kuih raya, kain pelikat, makanan ringan dan tuala.

Beliau menambah, tahun ini pihaknya menambah 5,000 bungkusan Hari Raya Aidilfitri ekoran penambahan anggota ATM yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Pada majlis itu, Kementerian Pertahanan turut menerima wang zakat berjumlah RM3.1 juta bagi Tabung Zakat ATM daripada empat badan korporat seperti Koperasi Tentera, Affin Islamic Bank Bhd., Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Affin Investment. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment