My Add

Friday 2 August 2013

Jangan bantah PPPM membuta tuli

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF dan ZABRY MOHAMAD

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) perlu menghormati dasar yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan dan bukannya membantah secara membuta tuli.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka tidak perlu ekstremis menentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang akan dilancarkan pada 6 September ini.

Tegas bekas Ketua Menteri Melaka itu, Dong Zong perlu berpijak di bumi nyata dan tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri kerana PPPM dilaksanakan demi kebaikan rakyat Malaysia.

"Kenapa mereka (Dong Zong) membantah? Pelaksanaan PPPM tidak akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah-sekolah vernakular.

"Mereka perlu hormat keputusan kerajaan kerana pelaksanaannya membolehkan sekolah kebangsaan menjadi sekolah pilihan kepada semua kaum,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan semalam berkata, PPPM akan tetap dilancar pada 6 September ini walaupun mendapat tentangan Dong Zong.

Mohd. Ali berkata, jika Dong Zong terus menentang pelaksanaan PPPM, persatuan atau pertubuhan lain juga boleh mendesak kerajaan supaya memperkenalkan sekolah satu aliran.

Sementara itu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) didesak membatalkan penubuhan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sekiranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu cuba mencabar Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata, tindakan Dong Zong yang seolah-olah cuba mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dengan menentang dasar pelajaran perlu diberi perhatian serius oleh ROS.

Ini kerana jelasnya, asas penubuhan sesebuah pertubuhan adalah mendokong Perlembagaan Persekutuan dan Dong Zong dilihat seperti bertindak sebaliknya.

"Pemenang desak ROS kaji semula penubuhan Dong Zong.

"Jika mereka mencabar Perlembagaan, ambil tindakan tegas segera," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Yussof memberitahu, memang sepatutnya kerajaan tidak bertolak-ansur dan melayan tuntutan Dong Zong itu.

Katanya, dasar pelajaran negara dihasilkan menerusi rundingan meja bulat selepas mengambil kira pandangan rakyat di seluruh negara.

"Suara rakyat ini perlu dihormati.

Kita harus memikirkan masa depan generasi akan datang," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment