My Add

Friday 2 August 2013

Bankleaks: Karpal, Anwar diminta beri penjelasan

PERMATANG PAUH, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta memberikan penjelasan berhubung laporan bertajuk 'Bankleaks Anwar/Karpal' yang diedarkan secara meluas Permatang Pauh sejak beberapa hari lalu.

Bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Dr. Mazlan Ismail berkata, beliau mengetahui perkara tersebut selepas menerima kira-kira 6,000 laporan sama yang dihantar hampir setiap hari sejak minggu lepas sama ada melalui pos atau diletakkan di dalam peti surat rumahnya.

Beliau percaya laporan setebal lapan muka surat itu dihantar ke kediaman para penduduk Permatang Pauh dan mereka kemudiannya menghantar semula laporan itu ke rumahnya.

"Ada juga individu tidak dikenali menelefon saya bertanyakan sama ada sudah menerima laporan yang dikirimkan ke rumah mereka. Mungkin mereka (penduduk) tiada saluran lain untuk mendapatkan penjelasan tentang kandungan laporan tersebut.

"Memandangkan saya tidak lagi menjadi calon BN, mungkin mereka beranggapan saya tiada komitmen lain dan merupakan orang paling sesuai untuk membantu mereka bagi mendapatkan penjelasan," katanya dalam sidang akhbar di rumahnya di sini hari ini.

Mazlan yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri memberitahu, beliau tidak mahu mengulas tentang kandungan laporan berkenaan berikutan melibatkan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Sehubungan itu, beliau akan mengembalikan kesemua laporan yang ada padanya ke pejabat Karpal di Pulau Pinang sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Saya tidak mahu simpan laporan ini. Saya anggap Karpal dan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh perlu atau wajar memberi keterangan serta penjelasan kepada seluruh penduduk di sini yang menerima laporan tersebut," ujarnya.

Mazlan percaya Karpal mengenali bekas kakitangan pejabatnya yang mendakwa menulis laporan berkenaan.

"Saya juga yakin Anwar dan Karpal akan menafikan (terlibat seperti dalam laporan itu)," katanya.

Menurut Mazlan, beliau tidak membuat laporan polis kerana mahu pihak berkuasa terbabit menyiasat sendiri selepas mendengar penjelasan Anwar dan Karpal. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment