My Add

Saturday 24 August 2013

Bas nahas berjaya dinaikkan

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ, AZRAI MOHAMMAD, 
FARABI SAID dan MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM

 *BANGKAI bas yang terlibat dalam tragedi di Genting Highlands Rabu lalu berjaya dinaikkan semalam. Turut kelihatan ialah para pekerja Puspakom yang membuat pemeriksaan awal ke atas tayar bas berkenaan. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR
BENTONG, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Bas yang terlibat dalam nahas ngeri di Genting Highlands kelmarin yang mengorbankan 37 nyawa dibawa naik dengan menggunakan dua buah kren hari ini.

Sehubungan itu juga operasi mencari dan menyelamat dihentikan pukul 4.50 petang.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohd. Mansor Mohd. Noor berkata, bas itu kemudian ditunda ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi membolehkan empat agensi yang dilantik menjalankan siasat nahas berkenaan.

Katanya, empat agensi itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Puspakom Sdn. Bhd., Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan Unit Forensik polis.

"Sejurus dinaikkan, kita akan melakukan siasatan dengan memberi kebenaran kepada empat agensi bagi memeriksa dan membuat siasatan fizikal pada bas itu.

"Beberapa bahagian bas itu juga terpaksa dileraikan untuk mengetahui punca sebenar kemalangan. Tempoh masa siasatan bergantung kepada kesemua agensi terlibat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Mansor seterusnya menjelaskan, keputusan untuk membuka laluan terlibat dalam nahas itu bergantung kepada pihak pengurusan Genting Highlands dan selepas siasatan selesai dilakukan di dalam gaung.

"Pasukan Vat 69, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) akan dikerahkan ke dalam gaung itu untuk memeriksa lokasi sekitar dan melakukan kerja-kerja pembersihan," katanya.

Sementara itu dalam taklimat terakhir kepada pegawai dan anggota penyelamat dari pelbagai agensi, Mohd. Mansor mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.

"Setiap yang terlibat telah memberi kerjasama yang baik dan berjaya mengelak daripada berlaku sebarang kecederaan.

"Saya juga berharap kemalangan maut yang mengorbankan puluhan nyawa sebegini juga tidak akan berlaku lagi dan berharap setiap orang mengambil iktibar dari tragedi ini," katanya.

Difahamkan, dalam operasi selama tiga hari itu, seramai 160 anggota penyelamat telah terlibat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment