My Add

Saturday 24 August 2013

Najib lancar projek hospital pakar

Oleh RAJMAH HASAN

*NAJIB bersama Rosmah Mansor mendengar penerangan mengenai replika Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata (HPKKP) daripada Pengarah Institut Perubatan Molekul (UMBI) merangkap Pengerusi Badan Petugas Penubuhan HPKKP, Prof. Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal (kanan) sewaktu majlis perasmian tapak hospital berkenaan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Ogos, 013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan projek hospital pakar kanak-kanak yang secara komprehensif memfokus kepada disiplin pediatrik atau kesihatan kanak-kanak di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini.

Projek itu yang pertama seumpamanya di negara ini merupakan cetusan idea isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga merupakan penaung Program Permata Negara.

Hospital moden berharga RM606 juta yang dikenali sebagai Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata (HPKKP) dan dibina bersebelahan PPUKM di atas kawasan seluas 13.68 ekar (5.54 hektar) itu dijangka siap sepenuhnya pada 2017.

HPKKP menawarkan pelbagai bidang rawatan sesuai termasuk pembedahan laparoskopik yang minimum invasif, perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraksik, implan koklea, pemindahan sumsum tulang, perkembangan kanak-kanak, genomik dan endokrinologi pediatrik.

Antara ciri-ciri istimewa ruang HPKKP yang setara dengan hospital kanak-kanak bertaraf dunia itu termasuk pesakit diberi bilik individu yang dilengkapi keperluan ibu bapa.

Selain itu, HPKKP turut menempatkan sebanyak 250 katil termasuk 198 katil di bilik persendirian dan 52 katil berkonsep terbuka untuk rawatan harian.

Berucap dalam majlis pelancaran itu, Najib berkata, sebagaimana pembangunan Hospital Wanita dan Kanak-kanak oleh Kementerian Kesihatan, pembinaan HPKKP itu merupakan satu lagi tanda aras yang amat penting untuk perancangan penjagaan kesihatan negara.

Pembinaannya, tambah beliau, sekali gus meletakkan Malaysia setaraf dalam liga negara maju khususnya dari aspek kesihatan.

"Jika di London ada The Great Ormond Street Hospital for Sick Children, di Melbourne ada The Royal Children's Hospital, di Toronto ada Toronto Hospital for Sick Children, di Los Angeles ada Children's Hospital Los Angeles, di Singapura dengan Kandang Kerbau Women and Children's Hospital, maka kini kita ada HPKKP di Kuala Lumpur," katanya.

Terdahulu, Najib diiringi Rosmah selaku Penaung HPKKP melakukan upacara pecah tanah projek tersebut secara maya di Auditorium PPUKM.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Menurut Najib, sejak merdeka, kerajaan melaksana sistem perkhidmatan kesihatan yang amat komprehensif termasuk perkhidmatan perbidanan di luar bandar, klinik desa, klinik kesihatan kecil dan besar, hospital daerah, hospital besar dan hospital tertiari seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selain itu, katanya, negara juga kini mempunyai tiga Hospital Pengajar di bawah Kementerian Pendidikan iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan dan PPUKM di Cheras.

Sehingga kini, menurut beliau, lebih 12,000 doktor perubatan dilahirkan tiga Hospital Pengajar itu bersama-sama sebanyak 17 buah lagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang menawarkan program ijazah doktor perubatan.

"Kerajaan juga telah meluluskan projek Hospital Pengajar untuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Ini bagi menampung keperluan beberapa IPTA lain yang menawarkan kursus doktor perubatan," katanya.

Sementara itu, Dr. Sharifah Hapsah yang mengetuai Jawatankuasa Induk Penubuhan HPKKP UKM itu berkata, sebanyak 80 pakar pelbagai bidang pediatrik, surgeri pediatrik, sokongan klinikal dan bukan klinikal memberi input kepada pelaksanaan projek hospital berkenaan bermula sejak Mei 2010.

Menurutnya, terdapat sebanyak 10 bidang khusus dalam perubatan dan surgeri kanak-kanak yang menjadi kekuatan di PPUKM dan pakar-pakar daripada HPKKP akan mengambil peranan utama dalam memberi rawatan, pengajaran dan penyelidikan dalam bidang-bidang tersebut.

"Daripada 10 bidang khusus ini, lima daripadanya dalam bidang perubatan pediatrik iaitu Perkembangan Kanak-kanak, Kardiologi Pediatrik, Perubatan Genomik, Endokrin Pediatrik serta Terapi Sel Stem manakala lima lagi adalah bagi surgeri kanak-kanak.

"Surgeri kanak-kanak ini termasuk Pembedahan Lubang Kunci atau Laparoskopi, Pembedahan Telinga Bionik, Pembedahan Plastik Pediatrik, Ortopedik serta Neurosurgeri Pediatrik," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment