My Add

Tuesday 27 August 2013

'Bekas ahli Puteri tidak disisih'

Oleh AMRAN MULUP

 * SHAHRIZAT Abdul Jalil (kanan) menerangkan sesuatu kepada wakil-wakil media sambil diperhatikan oleh Idris Haron (dua dari kanan), Mohd. Ali Rustam (tengah) dan Rabiyah Ali (kiri) dalam majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Wanita UMNO Melaka di Ayer Keroh, Melaka, semalam.
MELAKA, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menafikan kenyataan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said kononnya bekas ahli Puteri UMNO disisih atau tidak dihiraukan selepas secara automatik menjadi ahli Wanita UMNO.

Menurutnya, sejak mengambil alih kepemimpinan sayap itu daripada Tan Sri Rafidah Aziz, beliau mengambil keputusan merapatkan hubungan antara bekas Puteri UMNO di peringkat cawangan dan bahagian.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan meneruskan kesinambungan kerana kehadiran bekas ahli Puteri amat penting untuk memantapkan perjuangan pergerakan tersebut.

“Dari segi kedudukan bekas Puteri dalam kepimpinan Wanita tidak kita sisihkan, sebaliknya mereka juga diberi jawatan tertentu bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan tertinggi tetapi barisan Exco yang dilantik.

“Sebagai contoh, kita lantik Ketua Puteri UMNO Johor, Azlina Zainal Abidin sebagai Bendahari, jawatan yang tinggi dalam pucuk pimpinan sayap," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Pergerakan Wanita UMNO Melaka di Seri Bendahara, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua Menteri, Datuk Idris Haron; bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Rabiyah Ali.

Beliau mengulas kenyataan Azalina yang juga bekas Ketua Puteri UMNO yang menyatakan kesediaannya bertanding mencabar Shahrizat merebut jawatan Ketua Wanita UMNO bertujuan memastikan kira-kira 200,000 bekas ahli sayap itu tidak disisihkan daripada arus politik perdana negara.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, bekas ahli Puteri yang layak tidak disisihkan daripada sebarang jawatan penting sama ada di peringkat cawangan, bahagian dan Pusat.

Katanya, beliau telah melaksana transformasi itu sejak mengambil alih kepimpinan sayap dan kekal hingga sekarang.

Sementara itu, Penolong Bendahari Wanita UMNO, Noraslina Zainal Abidin berkata, kenyataan Azalina kononnya bekas ahli Puteri UMNO tidak diberi tempat dan ditindas di peringkat cawangan atau bahagian adalah tidak berasas.

“Sebagai salah seorang bekas Exco Puteri UMNO dan bekas Ketua Puteri UMNO Johor, saya telah dipilih di peringkat bahagian sebagai Ketua Wanita UMNO bahagian dan dilantik oleh Shahrizat sebagai Penolong Bendahari Wanita UMNO," kata beliau.

Menurutnya, tidak timbul langsung isu bekas ahli Puteri UMNO disisih atau tidak diberi tempat dalam arus politik.

“Bukan hanya saya, beberapa rakan bekas ahli Puteri UMNO kini memimpin di peringkat cawangan dan bahagian malah ada juga yang dipilih sebagai Exco Wanita UMNO," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Idris Haron menyatakan sokongan terbuka terhadap Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO dalam pemilihan parti itu Oktober ini.

Malah, seluruh Wanita UMNO Melaka dengan diketuai Idris turut melafazkan ikrar menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Shahrizat dalam mengekalkan jawatan sebagai ketua sayap parti itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment