My Add

Thursday 15 August 2013

Berhati-hati bila siar program - Jailani

Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN

 KUALA LUMPUR, RABU, 14 Ogos, 2013: Pengendali stesen televisyen dinasihatkan agar bertanggungjawab dan lebih teliti ketika menyiarkan sebarang rancangan, khususnya melibatkan agama dan kaum lain supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana golongan berkenaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, ini kerana isu menyentuh sensitiviti dan menghina agama semakin berleluasa, malah perkara itu dilihat tiada penghujung.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu menimbang keadaan persekitaran masyarakat terlebih dahulu sebelum menyiarkan rancangan yang melibatkan sensitiviti perkauman.

"Kita minta pemberi perkhidmatan berhati-hati dalam menyiarkan apa-apa kandungan. Kalau boleh jangan timbulkan apa-apa isu yang bersifat perkauman terhadap mana-mana golongan atau agama.

"Kita hidup dalam negara yang mempunyai masyarakat pelbagai bangsa, yang aman dan damai. Jadi, saya berharap supaya lebih berhati-hati dan jangan menimbulkan elemen tertentu yang boleh mencetuskan sensitiviti semua kaum," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pameran World Press Photo 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan TNT Express Malaysia, Chong Siang Chung dan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Kerajaan Belanda ke Malaysia, Ton Mandemaker.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan tindakan stesen televisyen berbayar, Astro meletakkan tanda peringatan sebelum menyiarkan sebuah dokumentari tentang sejarah hidup Pope Francis.

Tanda peringatan itu ialah: "Program ini tertera dengan gambaran agama dan mewakili pandangan selain daripada umat Islam. Budi bicara penonton disarankan."

Ini sekali gus telah mengundang banyak kritikan dari kebanyakan pelanggan Astro yang bukan beragama Islam mendakwa perbuatan meletakkan tanda peringatan itu adalah tidak perlu.

Pada masa sama, Jailani juga menafikan dakwaan bahawa pihaknya yang bertindak mengarahkan stesen televisyen itu meletakkan tanda peringatan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan penyebaran maklumat terutamanya berbaur perkauman menerusi laman sosial kerana bakal menimbulkan pertelingkahan yang boleh menjejaskan perpaduan nasional.

Kata beliau, pengguna laman sosial perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya didapati perkara itu disebarkan di internet.

"Kita sedia maklum dunia internet yang tiada sempadan walaupun kita cuba halang, tetapi tetap berlaku. Apa yang penting ialah kawal diri setiap individu, mereka bertanggungjawab atas apa yang disiarkan," katanya. -
UTUSAN 

No comments:

Post a Comment