My Add

Thursday 15 August 2013

Bertegas tangani isu hina Islam

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Ogos, 2013: Trend penghinaan terhadap kesucian Islam yang berlaku dalam negara akhir-akhir ini menuntut kerajaan untuk tidak lagi bersikap 'lembik' atau sekadar memberi amaran, sebaliknya 'bertaring' dalam bertindak.

Tuntutan itu disuarakan oleh kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang semakin 'panas hati' terhadap insiden-insiden menghina Islam dengan terbaharu seorang pemilik sebuah resort di Johor direman bagi membantu siasatan berhubung tindakannya membenarkan surau miliknya dijadikan tempat ritual agama bukan Islam.

Malah menurut mereka, pihak-pihak yang melakukan penghinaan itu sepatutnya dikenakan hukuman berat supaya menjadi pengajaran kepada semua.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri berkata, penghinaan demi penghinaan tersebut jelas menggambarkan ada pihak tertentu yang cuba melakukan provokasi untuk meletakkan negara ini dalam keadaan huru-hara.

''Ini tidak baik kepada negara dan jika tiada tindakan, perkara sebegini akan berterusan. Oleh demikian, kita menuntut ketegasan dari segi penguatkuasaan dan kerajaan jangan bermain politik dalam hal ini.

''Perlu diwujudkan undang-undang berhubung kekerasan bersenjata, undang-undang terhadap kesalahan yang boleh menyebabkan kekeruhan hubungan kaum dan undang-undang penghinaan agama. Kita mahu pihak yang melakukan penghinaan ini dihukum seberat-beratnya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shafie berkata, kerajaan juga digesa membuat kawalan ketat terhadap media baharu dan media sosial yang kini menjadi ejen menyebarkan permusuhan kaum serta agama.

''Bagi generasi muda, apabila perkara-perkara ini dibiarkan tanpa tindakan tegas, apa akan jadi kepada generasi mendatang? Merujuk kepada insiden ritual agama bukan Islam dalam surau, mereka ini tahu bahawa Islam sebagai agama Persekutuan yang perlu dihormati.

''Tetapi perkara ini terus berlaku, apa agendanya? Mereka ini tiada rasa sensitif dan hormat,'' ujarnya.

Mengulas isu sama, Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar mengutuk tindakan pihak-pihak tertentu yang dilihat sengaja 'menjentik' isu-isu keagamaan, khususnya menghina Islam.

Kepada respons terhadap isu surau dijadikan tokong, ini jawapan beliau: ''Mengapa sudah jadi bodoh (bertindak sedemikian)? Ini jelas satu tindakan tidak menghormati Islam.''

Beliau kemudiannya mendesak Kementerian Dalam Negeri supaya membatalkan status penduduk tetap (PR) kepada pemilik resort berkenaan yang disiasat berhubung tindakan membenarkan surau dijadikan tempat ritual agama bukan Islam.

Dalam pada itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak memberitahu motif di sebalik penghinaan terhadap Islam perlu disiasat sehingga ke 'lubang cacing'.

''Adakah kerana kurang peka atau bermotif? Kalau bermotif, tentu ada dalang dan tujuannya. Apa tujuan dan siapa dalang, itu polis kena siasat secara mendalam,'' tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment