My Add

Saturday 17 August 2013

Blog dedah Anwar sebenarnya buat tawaran

KUALA LUMPUR. JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat tawaran kepadanya untuk membentuk kerajaan perpaduan adalah suatu pembohongan.

Sebaliknya dedah sebuah blog, http://www.rbfonline.net, Anwar sebenarnya yang menawarkan kerajaan perpaduan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Barisan Nasional (BN) kepada Najib dengan tiga syarat pada bulan Ramadan lalu.

Tiga syarat Anwar itu dakwa rbfonline adalah melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri, melantik empat Ahli Parlimen PKR sebagai menteri, beliau akan memecat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Najib akan memilih siapa pengganti kekosongan itu.

Dakwa blog berkenaan, tawaran Anwar itu sekali lagi dibuat melalui bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang berkunjung ke Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu bersama rombongan antaranya Ade Dwi Irawan, Hamid Awaludin serta Emir Chairullah.

Menurut rbfonline, rombongan itu datang menaiki pesawat peribadi Jusuf dengan nombor pendaftaran PK-JKM dan mendarat di Kuala Lumpur pada pukul 8.20 malam, tetapi semua tawaran Anwar dikemukakan Jusuf ditolak Najib.

"Jusuf agak keberatan untuk menjadi orang tengah sekali lagi kerana beliau ada pengalaman ditipu Anwar semasa menjadi orang tengah dalam kes perjanjian pilihan raya umum lalu. Namun, pujukan demi pujukan membuat Jusuf mengalah dan bersetuju.

"Selesai bertemu Najib, Jusuf terus menyampaikan berita penolakan kepada Anwar. Jusuf pulang dengan pesawat yang sama keesokannya," dakwanya menerusi entri Kisah Sebenar-Anwar Yang Tawarkan Perpaduan Dengan Najib.

Anwar dalam wawancara bersama laman web Asia Sentinel pada Isnin lalu mendakwa, kononnya Perdana Menteri menghubunginya dan mencadangkan agar diadakan kerajaan perpaduan antara UMNO dan PKR tetapi beliau menolaknya.

Dalam pada itu rbfonline mendakwa, kebanyakan pemimpin Pas mengetahui lebih awal bahawa Anwar yang bertindak mengemukakan tawaran tersebut kerana terdesak mahukan kuasa sehingga sanggup membelakangkan parti komponen pakatan pembangkang.

"Sekumpulan Pemuda Pas telah diberitahu perkara ini dalam bulan Ramadan lalu sebab itu bila Anwar buka kisah mengenai tawaran ini, ia tidak disambut oleh Pas. Mereka tidak memperlekeh Najib kerana tahu siapa sebenarnya buat tawaran," katanya.

Sementara itu, blog The Flying Kick berkata, Anwar sememangnya 'tergila-gilakan' UMNO dan sedar untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri adalah dengan berada di dalam UMNO bukan di luar parti Melayu terbesar itu.

"Oleh itu Anwar sudah 'bikin' cerita kononnya Perdana Menteri berpakat untuk mewujudkan kerajaan perpaduan antara UMNO dan PKR. Najib diserang dan menyatakan beliau dan UMNO sudah terdesak sehingga terpaksa menawarkan peluang kepada Anwar.

"Dan Anwar pun segera berlakon, konon-kononnya menolak kerjasama itu kerana UMNO dan medianya bersifat perkauman," katanya.

Dalam pada itu, beberapa blog lain yang turut menyiarkan kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri menafikan dakwaan Anwar.

Blog-blog itu antaranya adalah apanama2020.blogspot.com, mediawangsamaju.blogspot.com, politikputramerdeka.blogspot.com dan penaminangreturn.blogspot.com. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment