My Add

Saturday 17 August 2013

KMPP persoal status halal kuih bulan ditawarkan DAP

PULAU PINANG, JUMAA, 16 Ogos, 2013: Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) mempersoalkan status halal kuih bulan yang ditawarkan oleh DAP kepada orang ramai termasuk masyarakat Islam di negeri ini.

Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan rapat dengan DAP itu, Rahmad Isahak berkata, pihaknya terkilan kerana tiada pengesahan dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan meskipun kuih bulan itu didakwa diproses mengikut syariat.

Menurut beliau, sepatutnya logo atau sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dipamerkan sebagai pengesahan.

"Kita nak tanya istilah halal itu siapa yang berikan? Adakah logo dan status halal kuih bulan itu telah mendapat pengiktirafan?

"Kalau setakat menggunakan bahan-bahan yang didakwa halal sahaja sudah boleh dikategorikan sebagai halal, itu tidak patut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tawaran 5,000 kotak kuih bulan oleh DAP Pulau Pinang untuk dijual kepada orang ramai sempena Festival Kuih Bulan yang bakal berlangsung dari 5 hingga 19 September ini.

Pengerusi penganjuran festival berkenaan, Lim Hui Ying yang juga adik kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa kuih bulan tersebut disediakan mengikut cara halal.

Kuih tradisional masyarakat Tionghua itu dijual di antara RM28 hingga RM50 di kesemua 25 pusat khidmat wakil rakyat DAP.

Sehubungan itu, Rahmad mendesak Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kassim serta Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Salleh Man tampil memberi penjelasan dalam perkara itu.

"Jangan pura-pura tidak tahu atau cuba bersubahat dalam perkara ini. Ini bukan soal politik tetapi soal hukum Islam," tegasnya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang Islam supaya tidak membeli kuih bulan yang dipromosikan oleh DAP itu sehingga status halal diselesaikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment