My Add

Thursday 15 August 2013

Bom: Anggota tentera direman

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan RODELIO JUNJUN TAUCAN

 *SASPEK kes letupan bom di Taman Sri Periuk (kiri) diiringi anggota polis dibawa masuk ke dalam van polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman dari Mahkamah Majistret di Tumpat, semalam. - UTUSAN/Irwan Majid
TUMPAT, RABU, 14 Ogos, 2013: Seorang anggota tentera berpangkat sarjan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes letupan bom di Taman Sri Periuk di sini, Ahad lalu yang mengakibatkan seorang kerani sekolah terbunuh.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Adha Yasser Amri mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Peguam yang mewakili tertuduh, Wan Abd. Razak Wan Dollah ketika ditemui pemberita berkata, perintah tahanan reman tersebut bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan.

Suspek yang berusia 29 tahun itu tiba pada kira-kira pukul 10 pagi ini dan meninggalkan mahkamah dalam keadaan tenang selepas dikenakan perintah tahanan tersebut pada pukul 10.45 pagi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu, pihaknya telah menahan seorang suspek kes berkenaan kira-kira pukul 5 petang semalam.

Suspek berkenaan ditahan di Tumpat, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang kerani maut dengan kedua-dua tangannya putus setelah mengambil satu bungkusan mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan di atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mentuanya di Taman Sri Periuk dekat sini.

Mangsa, Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Krai meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, Panglima Lapan Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Zaki Hamzah ketika mengulas kejadian tersebut memberitahu, beliau tidak mendapat apa-apa maklumat mengenai pembabitan anggota terbabit dalam kes berkenaan.

"Saya tak tahu, saya tidak diberikan apa-apa maklumat. Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis," katanya ketika di Markas Lapan Briged Kem Pengkalan Chepa di sini hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment