My Add

Tuesday 6 August 2013

Bukit Kayu Hitam jadi pusat pelancongan

KUBANG PASU, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Bukit Kayu Hitam yang terkenal sebagai kawasan bebas cukai akan dibangunkan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebagai pusat pelancongan utama.

Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Pembangunan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, kawasan yang terletak bersempadan dengan Thailand itu berpotensi dibangunkan dengan pelbagai aktiviti pelancongan selain bebas cukai.

Katanya, pihaknya akan mengenal pasti beberapa projek bersesuaian di kawasan seluas 283 hektar tersebut sekali gus dijangka merancakkan ekonomi negeri serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Selain daripada kawasan bebas cukai pelbagai lagi aktiviti berkaitan pelancongan akan diwujudkan di kawasan ini. Kita lihat banyak orang Malaysia pergi Thailand, namun kita berharap dapat menarik orang Thailand ke daerah ini.

"Saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan kawasan bebas cukai itu untuk melihat komponen lain yang boleh dibangunkan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media di Darulaman Golf Resort dekat sini malam tadi.

Yang hadir sama, Ketua Eksekutif, NCIA Datuk Redza Rafiq.

Menurut Mohd. Johari, pihaknya juga akan memajukan industri gamat di Langkawi melalui projek agropelancongan dengan pembabitan syarikat swasta dan agensi kerajaan.

"Kita lihat gamat ini semakin pupus sedangkan makhluk itu merupakan ikon Langkawi dan terdapat gamat berkualiti tinggi yang menilai kira-kira RM2,600 sekilogram. Industri ini juga kelak akan melibatkan masyarakat nelayan," katanya.

Dalam pada itu menurut Redza, pendekatan NCIA melalui pembabitan syarikat swasta dalam fasa pertamanya membuahkan hasil dengan limpahan lebih 40,000 peluang pekerjaan termasuk rekod terbaik pada tahun lalu iaitu sebanyak 16,335.

"Bagi fasa kedua yang bermula tahun ini sehingga 2020 kita akan mengupas lebih banyak peluang pekerjaan hasil limpahan ekonomi melalui pembabitan syarikat swasta dan pemimpin kerajaan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment