My Add

Sunday 25 August 2013

Cabutan undi 5,000 unit rumah PPA1M minggu depan

DENGKIL, SABTU, 24 Ogos, 2013: Cabutan pengundian fasa pertama Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Putrajaya akan dilakukan minggu depan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata fasa pertama projek itu melibatkan pembinaan 5,000 unit dijangka siap pada suku keempat 2015.

"Kita terima lebih 16,000 permohonan tetapi kita akan buat cabutan untuk 5,000 unit bagi fasa pertama PPA1M.

"Dalam lima tahun ini, kita berkeyakinan dapat membangunkan sebanyak 20,000 unit rumah mampu milik di Putrajaya untuk dijual," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-56, Hari Keluarga dan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Audit Negara di Paya Indah Wetlands, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, fasa pertama PP1M di Presint 11 dan Presint 17 dijadual siap lebih awal itu dalam tempoh 18 bulan berbanding 36 bulan yang ditetapkan sebelum ini supaya pembeli tidak perlu menunggu terlalu lama.

Pada April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan PPA1M sebagai satu usaha terbaharu kerajaan membantu penjawat awam membeli kediaman mampu milik yang bermutu.

Pada peringkat permulaan, 10,336 unit rumah mampu milik akan dibina menerusi projek PPA1M di Putrajaya pada harga antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut keluasan lantai dari 1,000 kaki persegi hingga 1,500 kaki persegi.

Tengku Adnan berkata projek perintis PP1M di Putrajaya itu dibangunkan menerusi kerjasama awam-swasta membabitkan SP Setia Bhd, Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Putrajaya Holdings Sdn Bhd atas tanah milik kerajaan yang membolehkan kos pembangunan dikurangkan sehingga 10 peratus, sekali gus mengurangkan harga rumah.

Menurutnya, kerajaan juga sedang meneliti untuk membeli apartmen daripada Putrajaya Holding atau pemaju swasta untuk dijadikan kuarters kerajaan bagi menampung 2,000 permohonan ketika ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment