My Add

Wednesday 7 August 2013

Che Mat tamat perkhidmatan, Nik Mustapha dilantik semula

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 Ogos, 2013: Datuk Che Mat Che Ali menamatkan tempoh perkhidmatan kontraknya sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini selepas 35 tahun berkhidmat di jabatan tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, Che Mat, 62, telah mula berkhidmat dengan kerajaan pada 1978 dengan bermula sebagai Penolong Pengarah Penyelidikan Islam di Jabatan Perdana Menteri.

"Beliau memegang jawatan Pengarah Jawi sejak 23 Februari 2005," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurutnya, urusan pemangkuan dan penggantian Che Mat sedang dalam perakuan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Kami memandang tinggi komitmen serta sumbangan beliau ketika menerajui Jawi dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan jasa beliau sememangnya amat dihargai oleh pihak jabatan dan kerajaan," ujarnya.

Sementara itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengumumkan, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan telah dilantik semula sebagai Ketua Pengarah institut tersebut bagi penggal ketiga.

Pelantikan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkuatkuasa mulai 2 Ogos sehingga 1 Ogos 2015.

"Beliau yang berkelulusan dalam bidang ekonomi dan perniagaan di Universiti Ohio, Amerika Syarikat, telah berkhidmat selama lebih 20 tahun di IKIM dan merupakan Ketua Pengarah IKIM yang keempat," katanya dalam kenyataan di sini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment