My Add

Friday 16 August 2013

DAP setuju pemilihan semula

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN
 
 * KARPAL Singh keluar bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang selepas mengadakan mesyuarat tergempar parti itu dipercayai berhubung pemilihan jawatankuasa CEC di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Setelah mendapat tekanan daripada pelbagai pihak termasuk ahli akar umbi serta segelintir pemimpin parti, DAP akhirnya akur dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Tindakan DAP itu secara tidak langsung mengakui siasatan dan ketetapan ROS pada 17 April lalu bahawa pemegang-pemegang jawatan yang dibentuk oleh CEC pada 15 Disember lepas adalah tidak sah.

Keputusan drastik DAP itu dibuat dalam mesyuarat CEC di Jalan Pudu di sini malam tadi, selang sehari selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) membincangkan isu yang sama Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, parti itu membuat keputusan mengadakan pemilihan semula CEC bagi menyelamatkan DAP daripada dibatalkan pendaftaran.

Keputusan itu dibuat tujuh bulan selepas pemilihan CEC 15 Disember lepas, yang diikuti siasatan ROS yang kemudian membuat ketetapan tidak memberi pengiktirafan kepada para pemegang jawatan CEC parti itu melalui notis yang dikeluarkan pada 17 April lalu.

Sehubungan itu, Karpal berkata, parti itu akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini bagi membincangkan persediaan mengadakan pemilihan semula CEC.

"Kami telah mengadakan mesyuarat CEC malam tadi dan sebulat suara bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula demi kepentingan jangka panjang parti," katanya.

Tambah Karpal, DAP terpaksa mengalah walaupun merasakan arahan ROS tidak mengikut lunas undang-undang.

"Setiausaha Agung, Lim Guan Eng telah beberapa kali 'merayu' kepada ROS untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan kemelut yang melanda parti namun usaha tersebut sia-sia.

"Setelah mengambil kira semua aspek, kami dengan berat hati membuat keputusan untuk akur dengan arahan ROS," tegasnya.

Isu pemilihan CEC DAP tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 perwakilan yang merupakan ahli sah untuk mengundi dalam pemilihan tersebut.

Keputusan pemilihan itu yang diadakan pada 15 Disember tahun lalu menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih.

Bagaimanapun selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari sebagai ahli CEC.

Insiden itu membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong selain beberapa ahli parti membuat aduan kepada ROS berikutan bimbang terdapat unsur-unsur manipulasi dalam keputusan tersebut.

Pada bulan Jun lalu, Ketua DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asogan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk mengetepikan surat pemecatan kepada beliau dengan alasan CEC tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment