My Add

Friday 16 August 2013

Harap pemilihan lebih 'telus' dan bersih

KUALA LUMPUR. KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dalam masa terdekat ini diharap dapat dijalankan dengan lebih 'telus' dan bersih dengan kehadiran pemerhati bebas serta pengaudit antarabangsa.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, sebelum ini parti itu telah banyak mengeluarkan arahan serta permintaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya pilihan raya diadakan secara adil.

"Mereka telah minta macam-macam dengan SPR sebelum ini demi memastikan pilihan raya diadakan secara adil dan telus. Saya minta mereka lakukan semua itu dalam parti dahulu.

"Segelintir pemimpin dalam DAP perlu 'ubah' dari segi moral dan etika sebelum menuding jari kepada pihak lain, sekiranya parti itu benar-benar telus, slogan ubah perlu bermula daripada parti itu dulu," katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendirian terbaharu DAP yang akhirnya mengalah dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula CEC setelah mendapat tekanan daripada pelbagai pihak, khususnya ahli parti itu sendiri.

Dalam pada itu, Tunku Aziz turut menempelak 'sandiwara' DAP yang berterusan apabila parti tersebut memberi alasan terpaksa membuat keputusan demi kepentingan parti untuk jangka panjang.

"Selama tujuh bulan ini, segala macam drama telah dibuat oleh DAP, mengapa tidak diadakan sahaja pemilihan semula sebelum ini?

"Cukuplah, hentikan manipulasi dan pembohongan. Saya gembira dengan keputusan ini, DAP mengalah kerana sedar mereka salah. Itu realitinya, rakyat bukan bodoh," tegasnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, Seremban, A. David Dass menyifatkan keputusan untuk mengadakan semula CEC adalah paling 'waras' pernah diambil oleh parti itu.

"Akhirnya saya dan teman-teman lain dalam parti dan serta bekas DAP boleh menarik nafas lega kerana pemimpin parti akhirnya akur terdapat unsur 'manipulasi' pemilihan lepas.

"Sekurang-kurangnya pemilihan semula dapat membersihkan nama parti yang telah tercemar dengan pelbagai dakwaan oleh ahli DAP sendiri," ujarnya.

Beliau turut berharap kepemimpinan tertinggi parti akan mengadakan pemilihan semula CEC mengikut lunas perlembagaan parti.

"Saya harap semua perwakilan dan cawangan yang dinafikan hak untuk mengundi dijemput tanpa prejudis. Betulkan apa yang salah sebelum ini. Ini bukan parti sendirian berhad," katanya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Cawangan Taman Sri Sg. Pelek, Tan Tuan Tat mendakwa, keputusan pemilihan kali ini berkemungkinan besar akan mencatatkan sedikit perubahan.

"Saya harap semua 'pihak' akan menerima keputusan itu dengan baik, janganlah ada sebarang unsur manipulasi kerana kuasa terletak di tangan ahli akar umbi, bukannya pada 'segelintir' pemimpin yang tamak kuasa," tegasnya.

Beliau turut melahirkan rasa hairan mengapa keputusan mengadakan pemilihan semula itu tidak diumumkan oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, sebaliknya diserahkan kepada Karpal Singh.

"Saya hairan kerana selama ini, hanya Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang yang 'enggan' sebarang pemilihan semula CEC. Adakah mereka masih tidak bersetuju dengan keputusan ini?" soalnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment