My Add

Friday 16 August 2013

Dapatkan maklumat terkini di Mesir

KOTA BHARU, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Seramai 1,481 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Mesir yang kini sedang bercuti dinasihatkan berhubung terlebih dahulu dengan pegawai-pegawai Mara di negara itu untuk mendapatkan maklumat semasa mengenai keadaan di sana sebelum kembali meneruskan pengajian.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelajar-pelajar di negara ini perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan semasa di Mesir sebelum kembali ke sana.

Menurutnya, pegawai Mara di Mesir akan sentiasa memantau keadaan di negara itu dan sekiranya perjalanan ke negara itu didapati tidak menimbulkan sebarang bahaya kepada pelajar-pelajar ini, mereka boleh kembali.

"Pelajar-pelajar tajaan di sana masih lagi ada tetapi tidak ramai iaitu hanya sekitar 192 orang kerana masing-masing masih bercuti. Sebelum mereka (pelajar) ini kembali ke Mesir, dapatkan nasihat terlebih dahulu sama ada keadaan di sana selamat ataupun tidak.

"Saya juga telah meminta Ketua Pengarah Mara di Mesir memberikan laporan dari semasa ke semasa mengenai keadaan di negara itu kerana kita hendak pastikan semua pelajar tajaan kita tidak terlibat dengan apa jua keadaan yang tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri bersama warga kerja Mara negeri ini di Kompleks Mara di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Mara Kelantan, Mohd. Ishak Zakaria.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kira-kira 2,200 maut sementara lebih 10,000 yang lain cedera selepas pasukan keselamatan Mesir melancarkan tindakan kekerasan yang disokong dengan kereta perisai, helikopter, penembak tepat di kem penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al-Nahda, di Kaherah.

Tambah Annuar, hasil pemantauan Mara mendapati pelajar Malaysia di Mesir khususnya di Kaherah berada dalam keadaan baik dan tidak terlibat dengan apa-apa peristiwa yang berlaku. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment