My Add

Friday 16 August 2013

Bapa harap kehilangan 3 beradik beri pengajaran kepada semua

 *TIGA beradik dari kiri, Sharafuddin Syazwan Rizauddin, Syahir Syafi dan Syauratul Syafiyah duduk dalam kenderaan polis bersama ibu mereka, Safarila Azwa Ishak untuk dibawa pulang ke Ipoh selepas dipertemukan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selayang, Selangor, semalam.
IPOH, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Bapa tiga kanak-kanak yang didakwa hilang di rumah mereka di Taman Meru 2B di sini petang kelmarin sebelum ditemui di Gombak, Selangor malam tadi, berharap kejadian menimpa tiga anaknya itu dapat memberi pengajaran kepada semua pihak.

Rizauddin Md. Zain, 38, menjelaskan kehilangan Sharafuddin Syazwan, 11, Syahir Syafi, 8, dan Syauratul Syafiyah, 6, bukan berpunca daripada kecuaian mana-mana pihak termasuk bekas isterinya, Safarila Azwa Ishak, 36.

Sebaliknya, kata Rizauddin, perkara itu berlaku disebabkan salah faham melibatkan beberapa ahli keluarga mereka.

Walau bagaimanapun, katanya, dia tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak terhadap apa yang terjadi namun meminta polis menjalankan siasatan terperinci bagaimana anak-anaknya boleh berada di Gombak.

"Sejujurnya, saya sehingga kini masih buntu dan tidak tahu bagaimana mereka dibawa dan siapa yang telah membawa mereka ke sana. Saya serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasat.

"Apa yang paling penting sekarang anak-anak saya selamat. Syukur alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada pihak polis, media dan orang awam yang tidak putus-putus berdoa agar mereka ditemui," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rizauddin berkata, ketika ini ketiga-tiga anaknya itu sudah pun dibawa pulang ke rumah bekas isterinya di sini dan berada dalam keadaan baik.

Katanya, mereka juga disahkan sihat selepas menjalani pemeriksaan perubatan di Gombak sebelum dihantar ke Ipoh dan kini perlu berehat.

Sementara itu, usaha menemubual tiga kanak-kanak berkenaan di rumah mereka di Taman Meru 2B hari ini, gagal apabila ibunya memaklumkan mereka masih tidur akibat kepenatan.

Menurut Safarila Azwa, dia tiba ke rumah bersama anak-anaknya kira-kira pukul 8 pagi ini selepas menemui mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada pukul 12 tengah malam tadi.

"Saya bersyukur kerana ketiga-tiga anak saya ditemui dalam keadaan selamat. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu mencari anak-anak saya sejak berita kehilangan mereka disebarkan kelmarin (Selasa).

"Ketiga-tiga mereka ditemui oleh orang awam sebelum dihantar ke IPD Gombak kira-kira pukul 11 malam tadi," katanya.

Difahamkan polis telah mengambil keterangan daripada tiga adik-beradik berkenaan, ibu dan bapa mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment