My Add

Wednesday 21 August 2013

Dua didakwa miliki dokumen, buku berkaitan Syiah

 *NUR Azah Abdul Halim di Mahkamah Rendah Syariah Taiping, Perak, semalam.
TAIPING, SELASA, 20 Ogos, 2013: Dua individu termasuk seorang doktor wanita dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak kerana memiliki dokumen dan buku berkaitan ajaran Syiah, pada awal bulan ini.

Dr. Nur Azah Abdul Halim, 41, dan Mohammad Ridzuan Yusof, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Syarie, Azman Saad.

Pengakuan tersebut disambut dengan ucapan 'Alhamdulillah' oleh kira-kira 50 orang awam dipercayai pengikut fahaman itu yang telah memenuhi ruang mahkamah sejak awal pagi lagi.

Mengikut pertuduhan, Nur Azah didakwa telah melakukan kesalahan berkenaan di sebuah premis di No 41, Jalan Medan Kamunting, Medan Kamunting dekat sini pada 5 Ogos lalu.

Mohammad Ridzuan pula didakwa melakukan kesalahan serupa pada tarikh yang sama di sebuah rumah di No. 125 Lorong Jelutong, Kampung Jana Sambungan, Kamunting dekat sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Pendakwa Syarie, Mohammad Syamil Azizan mengikut Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Azman membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin iaitu jumlah sama yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini.

Beliau menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Pada 5 Ogos lalu, kedua-dua tertuduh telah dihadapkan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh atas tuduhan itu bagi tujuan ikat jamin di hadapan Hakim Syarie, Muhammad Taifor Ahamad Rusdi.

Mengikut laporan akhbar, kedua-dua mereka telah ditahan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), 5 Ogos lalu di sini selepas menyerbu dua premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah.

Syiah diwartakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996.

Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Perak pada 4 Januari 2012 antara lain menyebut orang Islam dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen.

Selain itu, orang Islam dilarang menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman Syiah kepada mana-mana harta alih atau tak alih, dan semua pihak dilarang daripada memberi apa jua kemudahan dan bantuan.

Apa jua bentuk tindakan seperti yang dinyatakan di atas perlu dihalang dan diambil tindakan menurut undang-undang.

Sementara itu, galeri awam mahkamah hari ini penuh sesak dengan orang ramai yang disyaki pengikut fahaman berkenaan yang ingin mengikuti perkembangan kes tersebut.

Mereka juga dilihat berbuat bising dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan antaranya 'mahkamah paria' dan 'mahkamah mengarut' semasa prosiding berjalan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment