My Add

Wednesday 21 August 2013

Bom: Tempoh reman dilanjut tujuh hari lagi

TUMPAT, SELASA, 20 Ogos, 2013: Tempoh reman seorang anggota tentera yang ditahan bagi membantu siasatan kes letupan bom di Taman Sri Periuk di sini baru-baru ini sehingga mengakibatkan seorang kerani sekolah terbunuh, dilanjutkan selama tujuh hari.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Adha Yasser Amri mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Lelaki itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga dan dia kelihatan tenang serta sentiasa tersenyum ketika jurugambar merakamkan kelibatnya.

Yang turut kelihatan ialah beberapa ahli keluarga anggota tentera berpangkat sarjan itu.

Suspek sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari mulai 14 Ogos lalu.

Kelmarin, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai bersekongkol dengan suspek dalam kejadian tersebut semasa menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini.

Kedua-dua suspek berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 11 Ogos lalu, seorang kerani maut dengan kedua-dua tangannya putus setelah mengambil satu bungkusan mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan di atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mertuanya di Taman Sri Periuk dekat sini.

Mangsa, Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Krai meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal polis mendapati kejadian itu berpunca daripada cemburu dan dendam.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Pasir Puteh, Ahmad Adha Yasser turut melanjutkan perintah tahanan reman seorang lelaki berhubung kes tembak sehingga mati di Kampung Gong Mengkelih, Pasir Puteh pada 5 Ogos lalu selama tujuh hari bermula esok.

Sebelum ini, seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes tembak yang menyebabkan Amirul Tajo Nasir, 40, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) beberapa jam selepas ditembak di punggung, dada dan badan.

Amirul Tajo ditembak ketika sedang minum di sebuah kedai di kawasan tersebut dan kejadian itu juga menyebabkan seorang wanita turut tercedera. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment