My Add

Friday 23 August 2013

Dua warga Iran edar dadah dihukum gantung

SHAH ALAM, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Dua lelaki warga Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan mengedar dadah jenis Methamphetamine berjumlah 2,754.1 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Nurchaya Arshad memutuskan demikian terhadap ahli perniagaan, Farhad Ramezani Hassan, 56, dan penganggur, Ali Akhbar Dallak Ghadr Ali, 41, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam pertuduhan berasingan itu, Farhad didakwa mengedar seberat 1,455.8 gram dadah itu di Pejabat Bagasi Servis (KLAS) Aras 3, Bangunan Utama Terminal (MTB) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini kira-kira pukul 5 petang, 2 Disember 2010.

Sementara, Ali Akhbar pula didapati mengedar 1,298.3 gram dadah tersebut di kawasan tuntutan bagasi D, Aras 3, MTB KLIA, Sepang dekat sini, kira-kira pukul 4.10 petang pada tarikh yang sama.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zainal Azwar Kamaruddin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan mengemukakan tujuh saksi manakala pembelaan, dua saksi. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment