My Add

Friday 23 August 2013

Lingam, 24 yang lain diperintah jawab pertuduhan

PUTRAJAYA, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Peguam Datuk V.K. Lingam dan 24 yang lain diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini untuk menjawab pertuduhan menghina mahkamah kerana mendakwa panel Mahkamah Persekutuan telah memplagiat satu penghakiman.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, mempengerusikan panel lima hakim, berkata tidak ada kesalahan prosedur apabila dua penyelesai memperoleh kebenaran untuk mendakwa mereka bagi menghina mahkamah.

"Kami berpuas hati bahawa kes prima facie telah dibuktikan terhadap mereka," katanya.

Hakim Suriyadi berkata selepas menimbangkan semua keterangan yang dikemukakan di mahkamah, ia (mahkamah) mendapati permohonan yang dikemukakan oleh Lingam dan 24 yang lain untuk mengenepikan kebenaran itu adalah tanpa merit.

Panel itu yang turut dianggotai hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, sebulat suara menolak permohonan 

Lingam dan 24 yang lain untuk membatalkan kebenaran diperoleh dua penyelesai bagi Kian Joo Holdings Sdn Bhd (KJH), Ooi Woon Chee dan Ng Kim Tuck, untuk mereka dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Mahkamah juga memerintahkan Lingam, 12 individu termasuk bekas pengarah urusan kumpulan Kian Joo Can Factory Bhd (KJCF) Datuk See Teow Chuan yang merupakan penyumbang majoriti Kian Joo Holdings, peguam A. S. Thisinayagam dan 11 lagi individu yang merupakan penyumbang minoriti KJH, untuk membayar kos perundangan.

Bagaimanapun, Hakim Suriyadi berkata isu jumlah kos hanya akan diputuskan selepas usul utama diselesaikan.

Mahkamah juga memerintahkan kes itu dibawa untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran usul itu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment