My Add

Friday 2 August 2013

DUN Penggaram disahkan milik DAP

SHAH ALAM, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Johor yang difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN), King Ban Siang.

Hakim Datuk Suraya Othman membuat keputusan itu dengan kos RM20,000 selepas membenarkan bantahan awal oleh calon DAP, Gan Peck Cheng.

Pada pilihan raya umum yang lalu, Peck Cheng memenangi kerusi DUN Penggaram menewaskan Ban Siang dengan majoriti sebanyak 10,051 undi.

Hakim Suraya dalam penghakimannya berkata, petisyen tersebut wajar ditolak kerana terdapat kecacatan dalam butiran dan maklumat yang diberikan oleh Ban Siang selaku pempetisyen.

Menurutnya, sekiranya perbicaraan penuh diadakan, ia tidak akan menjurus kepada satu keputusan.

''Berikutan itu, mahkamah mempunyai kuasa untuk tidak menjalankan perbicaraan penuh,'' katanya.

Hakim Suraya turut menolak dakwaan pempetisyen yang mendakwa Peck Cheng mengadakan jamuan makan dan minum kepada pengundi di Taman Sri Penggaram, Batu Pahat, Johor pada 18 Mei lalu sebagai satu bentuk rasuah.

Menurut beliau, ia tiada kaitan dengan undang-undang dan pempetisyen juga gagal memberikan butiran lengkap berhubung adanya unsur rasuah dalam jamuan berkenaan.

Menyentuh isi kain rentang 'Ubah Sekarang dan Bersihkan Malaysia', menurut hakim tersebut, sistem perundangan negara ini tidak melarang kempen yang mengedar atau memaparkan kain rentang bagi tujuan pilihan raya.

Ban Siang yang diwakili oleh peguam Izzat Muhtar memfailkan permohonan petisyen pada 10 Jun lalu terhadap Peck Cheng yang dinamakan sebagai responden.

Peck Cheng diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Thomas Philip.

Dalam pernyataan petisyen itu, Ban Siang mendakwa Peck Cheng telah melakukan rasuah dan menyalahi undang-undang kerana telah mengadakan serta menyediakan jamuan makan dan minum kepada pengundi di kawasan Penggaram sehingga membawa kepada kemenangannya.

Dakwanya lagi, Peck Cheng atau ejen-ejennya memaparkan kain rentang pada 18 Mei lalu, jelas menjemput pengundi di kawasan DUN Penggaram untuk menghadiri jamuan tersebut dan kira-kira 2,000 penduduk hadir.

Ban Siang mendakwa kain rentang yang mengandungi perkataan 'Ubah Sekarang dan Bersihkan Malaysia' telah diedar dan ditampal oleh responden dengan tujuan untuk menimbulkan dan menyebarkan perasaan jahat serta tidak puas hati pengundi di Penggaram. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment