My Add

Friday 2 August 2013

Pemimpin Wanita UMNO sokong Shahrizat

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Beberapa pemimpin Wanita UMNO hari ini menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai ketua pergerakan itu.

Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, Wanita UMNO telah menjadi entiti yang kuat sejak pergerakan itu diterajui Shahrizat, tokoh yang dilihatnya mempunyai sifat keibuan dan lemah lembut, tetapi tegas dalam melaksanakan tugas dan membuat keputusan.

"Saya masih memerlukan kepimpinan Datuk Seri Shahrizat. Saya selaku Ketua Wanita UMNO di Johor yakin sebanyak 98 peratus wanita di Johor masih di belakang Datuk Seri Shahrizat,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan bahawa jawatan Ketua Wanita UMNO akan ditandingi pada pemilihan sayap UMNO itu pada 28 September ini.

Sebelum ini, bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Seri Azlina Othman Said yang juga anggota Parlimen Pengerang, dilaporkan melahirkan hasrat untuk mencabar Shahrizat bagi jawatan Ketua Wanita UMNO.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Pahang, Datuk Rosni Zahari berkata, pergerakan memerlukan kepimpinan Shahrizat kerana beliau adalah ketua wanita yang terbaik setakat ini dan tiada tokoh lain yang boleh menandinginya.

''Setakat ini, 90 peratus wanita bahagian menyokong Datuk Seri Shahrizat,'' katanya.

Ketua Wanita UMNO Kelantan, Datin Rahimah Mohamad pula berkata, dalam tempoh sepenggal menerajui pergerakan itu, Shahrizat berjaya mengangkat imej Wanita UMNO sehingga memaksa banyak pihak memberi perhatian kepada golongan itu.

''Datuk Seri Shahrizat telah mampu dan berjaya meletakkan Wanita UMNO pada landasan yang betul dan telah menjadikan kehadiran wanita benar-benar dirasai dalam arus dan gelombang perjuangan bangsa,'' katanya.

Anggota Exco Wanita UMNO, Datuk Maznah Abdul Hamid turut berpendapat Shahrizat pemimpin yang terbaik bukan sahaja pada aspek kepimpinan, tetapi dalam menyatupadukan anggota dan sangat mementingkan aspek kebajikan.

Seorang lagi Exco Wanita UMNO, Datuk Jamelah A. Bakar berkata, bagi pihaknya, jika ada pertandingan, beliau berharap pertandingan untuk merebut jawatan itu dilaksanakan secara sihat demi kebaikan parti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment