My Add

Monday 5 August 2013

Elak agenda diri jadi keutamaan

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

 * SHAFIEApdal (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dalam majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat di Kampung Darau, Sepanggar, Sabah semalam. - Utusan/Azrul Edham Mohd. Aminuddin
SEPANGGAR, AHAD, 04 Ogos, 2013: Mana-mana ahli UMNO yang berhasrat bertanding merebut jawatan utama dalam pemilihan parti itu perlu berlandaskan kepada agenda memperkuat dan memperkasa parti serta mengelak kepentingan sendiri atau kumpulan tertentu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menawarkan diri mempertahan jawatan itu berkata, kehadiran calon-calon itu perlu diterjemah untuk menjadi sinergi terbaik kepada perjuangan dan hala tuju parti, bukannya memudarat dan melemahkan parti.

Katanya, langkah memberi mandat kepada sebanyak 150,000 ahli memilih pemimpin amat demokratik kerana membuka ruang lebih besar kepada peringkat akar umbi menilai secara telus sumbangan calon-calon kepada parti selama ini.

"Ini ingatan saya kepada diri sendiri dan bakal calon lain. Naib Presiden dan mana-mana jawatan lain merupakan landasan penting dalam penggubalan dasar dan hala tuju parti terbesar ini.

"Ini bukannya pentas percubaan atau ujian populariti. Saya serahkan diri untuk dinilai keupayaan oleh ahli-ahli parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama penduduk di Kampung Darau di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri Karambunai, Datuk Jainab Ahmad Ayid yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri.

Sementara itu, ditanya mengenai pendiriannya supaya dua jawatan tertinggi iaitu presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, langkah tersebut lebih baik bagi membolehkan fokus persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 dapat dimantapkan.

Apatah lagi, tambah beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah membuktikan keupayaan mentadbir negara dan parti semasa menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Tetapi keputusan muktamad terserah kepada kebijaksanaan ahli yang mempunyai hak penuh untuk menentukan hala tuju parti nanti," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment