My Add

Wednesday 7 August 2013

Fadillah belum putuskan untuk pertahan jawatan Ketua Pemuda PBB

KUCHING, SELASA, 06 Ogos, 2013: Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fadillah Yusof belum memutuskan sama ada akan mempertahan jawatan pemimpin sayap parti itu pada pemilihan Oktober ini.

Menteri Kerja Raya itu berkata beliau juga tidak tahu jika ada pihak yang ingin merebut jawatan berkenaan.

"Saya belum pasti sama ada saya akan bertanding atau tidak, saya belum membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jualan Khas Aidilfitri FAMA di Medan Niaga Satok, di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah FAMA Negeri Paza Dan.

Fadillah turut menjelaskan PBB tidak menetapkan had umur calon untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda, tidak seperti parti komponen Barisan Nasional (BN), Umno.

"Saya bukan di penggal akhir, saya masih layak walau dah berusia 51 tahun, sebab tak ada had umur, sesiapa sahaja layak boleh bertanding walau berusia 70 tahun selagi mereka mahu jawatan itu.

"PBB menetapkan untuk jawatan Ketua Pemuda tidak ada had usia calon yang ingin bertanding. Tetapi untuk ahli iaitu sesiapa sahaja yang mahu bertanding mana-mana jawatan dalam parti, mereka perlu berusia 45 tahun dan ke bawah, yang mana apabila anda mencapai usia 46 tahun semasa konvensyen maka mereka tidak lagi layak untuk bertanding," katanya.

Mengulas pertandingan di peringkat jawatan tertinggi PBB, Fadillah berkata parti tersebut mempunyai tradisi serta budaya sendiri seperti mengadakan perundingan, mendapatkan pandangan pemimpin sedia ada dalam menentukan bakal pemimpin atau ketua.

"Ini tradisi biasa PBB, dan itu konsep demokrasi dalam parti, ia lebih musyawarah, muafakat. Paling penting kekuatan parti kita kena pelihara bukan individu. Itulah budaya ditanam Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud selaku presiden parti supaya meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan individu," katanya.

Pada 17 Julai lepas, Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi berkata PBB dijadual mengadakan mesyuarat agung tiga tahun sekali (TGM) di sini Oktober ini, apabila persidangan perwakilan masing-masing selesai sebelum 31 Ogos.

Dr Rundi, yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam negeri, berkata pada masa ini, 71 cawangan PBB mempunyai sejumlah 270,212 anggota manakala sayap Kaum Bapa 1,418 anggota, Wanita 1,058 dan Pemuda 930.

Beliau berkata TGM itu yang akan diadakan selama tiga hari mulai 19 Okt, dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment