My Add

Tuesday 6 August 2013

Fasa satu PIDPT beroperasi 2014

 *GAMBARAN ilustrasi Projek RAPID di Pengerang yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2016.
JOHOR BAHRU , ISNIN,05 Ogos, 2013: Pembangunan Fasa Satu Terminal Petroleum Laut Dalam Bebas Pengerang (PIDPT) bernilai RM9 bilion berjalan lancar dan dijadual memulakan operasi pada suku kedua tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Petroleum Johor (JPDC), Mohd. Yazid Jaafar berkata, kerja-kerja pembinaan fasa satu kemudahan itu sudah siap 65 peratus.

“Pembangunan fasa satu PIDPT berjalan lancar dan dijadual beroperasi pada suku kedua tahun depan," katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.

PIDPT, dibangunkan secara berperingkat-peringkat di kawasan seluas lebih 500 ekar tanah tebus guna, memiliki kemudahan penyimpanan 5 juta meter padu petroleum.

Projek pembinaan PIDPT dilaksanakan oleh syarikat senaraian Papan Utama, Dialog Berhad, Royal Vopak dari Belanda dan Setiausaha Kerajaan Negeri Diperbadankan (SSI).

Fasa satu kemudahan penyimpanan petroleum itu berkeupayaan menyimpan sehingga 1.3 juta padu produk petroleum.

Royal Vopak ialah penyedia tangki penyimpanan bebas terbesar di dunia.

Selain itu, PIDPT turut meliputi terminal import LNG yang dirancang dibangunkan menerusi Fasa Kedua pelan pembangunannya, kata Mohd. Yazid.

Sementara itu, JPDC menerusi akaun Facebook membuat penjelasan berikutan pelbagai ’salah petik dan salah lapor’ membabitkan penyertaan dan pelabur berpotensi dalam projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

PIPC katanya dibangunkan bagi mewujudkan nilai tambah kepada aktiviti hiliran minyak dan gas Malaysia.

Setakat ini dua projek pemangkin berasingan sudah dipersetujui di PIPC iaitu Projek PIDPT dan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) oleh syarikat minyak dan gas, Petronas.

Selain dua projek yang dipersetujui itu, Kuokuang Petrochemical Technology Co (KPTC) Taiwan juga menunjukkan minat untuk melabur dalam projek pembangunan penapisan dan petrokimia di PIPC, kata JPDC.

Cadangan projek oleh KPTC berasingan daripada dua projek yang sedang dilaksanakan oleh usaha sama Dialog-Royal Vopak-Kerajaan Johor dan RAPID Petronas.

Jika dilaksanakan, pelaburan KPTC dijangka kira-kira US$13 bilion, termasuk pembinaan 150,000 BPD (tong sehari) minyak mentah Naphtha Cracker. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment