My Add

Wednesday 7 August 2013

Gunakan saluran tepat menangani isu agama: Yang Dipertua Negeri Sarawak

KUCHING, RABU, 07 Ogos, 2013: Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng meminta umat Islam di Sarawak bersabar dan menggunakan saluran yang tepat melalui penguatkuasa undang-undang dalam menangani isu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau berkata, kebelakangan ini sensitiviti umat Islam diuji berikutan percubaan beberapa pihak mempermainkan isu agama di negara ini.

"Keutuhan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang adalah tunjang utama keharmonian dan kesejahteraan negara kita dan, sesungguhnya, kita patut bersyukur dan amat bertuah dapat merayakan Aidilfitri dalam suasana aman dan damai, hasil dari keadaan politik dan ekonomi yang stabil," katanya dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri, di sini, hari ini.

Beliau turut berbangga kerana negeri ini menyambut perayaan 50 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia pada tahun ini dengan mengadakan pelbagai acara sepanjang tahun untuk memperingati sejarah, cabaran dan pembangunan Sarawak selepas mengecap kemerdekaan.

Sambil mengatakan kemakmuran dan kemajuan yang dicapai pada hari ini adalah hasil usaha dan kerjasama erat pemimpin dan rakyat Sarawak, beliau berkata, rakyat perlu mengekalkan keadaan sedia ada supaya perancangan pembangunan dapat dipercepatkan sejajar dengan visi negara untuk membangunkan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment