My Add

Tuesday 27 August 2013

Hati-hati suarakan isu agama

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

 *RAJA Dr. Nazrin Shah memeriksa perbarisan sempena Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Kali Ke-13 di Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN
IPOH, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengingatkan mana-mana pihak berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun reaksi terhadap sebarang perkara yang menyentuh keagamaan, sekali gus mahu setiap pengucapan dan tindakan harus diambil berlandaskan kepada fikiran rasional.

Baginda bertitah, kenyataan terbuka berunsur provokatif hendaklah dielak malah sebarang pertelingkahan tidak harus dipolemik apatah lagi dikusutkan kerana agama merupakan subjek yang sangat dekat di hati serta mempunyai ikatan emosi rapat dengan penganutnya.

Sehubungan itu, titah baginda, isu agama perlu dibincangkan dalam suasana rundingan berlandaskan sifat keilmuan bagi membolehkan tercapainya titik persefahaman dan pertemuan.

"Tanggungjawab menangani isu agama memerlukan persefahaman semua pihak. Semoga ahli-ahli Dewan Negeri Perak tanpa mengira kumpulan politik dapat mempamer sebaik contoh teladan, mengalun simfoni harmoni, mendendangkan lirik persefahaman secara bersama dan mengelak isu agama daripada disensasi serta dijadikan modal politik.

"Demi memastikan kelangsungan demokrasi terus segar dan subur di muka bumi ini, sama-samalah berada di barisan hadapan, mewakili suara kesederhanaan ke arah membina persekitaran beragama yang mencerminkan budaya saling menghormati," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam sidang pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Kali Ke-13, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nazrin bertitah, suasana harmoni tidak mungkin tercapai sekiranya setiap pihak memilih ke arah kekerasan dan berkonfrontasi.

Titah baginda, perselisihan sering berlaku disebabkan kurangnya kefahaman terhadap sensitiviti sesuatu isu sedangkan perkara itu perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan, berhikmah, adil dan saksama.

"Semangat yang terkandung di sebalik Perjanjian Hudaibiah yang dipelopori junjungan besar, Nabi Muhammad SAW hendaklah diselami dan dijadikan panduan supaya umat Islam tidak berakhir dengan nasib menang sorak, kampung tergadai," titah baginda.

Baginda turut menyeru ke arah pembinaan kekuatan negara melalui amalan dan semangat politik yang mementingkan jalinan kerjasama antara agama dan kaum baik dalam kalangan kerajaan mahupun pembangkang kerana masing-masing mepunyai peranan relevan lagi konstruktif.

Apatah lagi, titah baginda, rakyat di negara ini menolak aliran pemikiran ekstremis sama ada berunsur ideologi, agama mahupun kaum sejak terbentuknya sebuah negara bangsa.

Selain itu, baginda menyeru semua pihak terus memberi kerjasama meringankan tugas berat pasukan keselamatan berdepan cabaran harian memerangi jenayah.

Baginda turut merakamkan penghargaan ke atas pengorbanan anggota pasukan keselamatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) - UTUSANan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan serta keamanan negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment