My Add

Tuesday 6 August 2013

Hishammuddin tidak gentar

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussein bersalaman sambil mengagihkan cenderamata kepada sebahagian orang ramai yang menunggu ketibaan bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak gentar untuk mempertahankan jawatannya biarpun perebutan kedudukan naib presiden dijangka sengit berikutan beberapa nama besar dalam UMNO disebut-sebut akan bertanding.

Katanya, saingan sengit bukan perkara baharu kepada beliau serta dua lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, tetapi semua pihak yang berminat untuk mengintai mana-mana jawatan dalam parti mesti bertanding secara sihat.

Bagi dirinya, Hishammuddin berkata, selepas mengumumkan mempertahankan jawatan naib presiden, beliau sedar apa juga kedudukan dalam parti, banyak kerja perlu dilakukan bukan sahaja untuk memperkuatkan UMNO tetapi Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.

"Sengit macam mana sekalipun akhirnya kita rapatkan barisan. Kedua, pertandingan itu harus berjalan secara sihat dan bukan perkara baharu kepada kami bertiga ini bertanding dalam parti. Pada saya tiada beza berbanding dulu, cuma sekarang kesedaran kalangan ahli tinggi.

"Semua yang berminat boleh bertanding, tiada masalah. Cuma jangan buat sesuatu yang boleh memecahkan parti, jangan buat sesuatu yang melemahkan UMNO," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.

Sehingga kini, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam hampir pasti bertanding jawatan naib presiden manakala Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman juga dipercayai akan turut masuk gelanggang.

Pada majlis itu, Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan diberi kejutan oleh kakitangan TBS apabila mereka menyediakan pulut kuning dua tingkat sebagai menyambut ulang tahun kelahirannya ke-52.

Ditanya apakah akan ada kemungkinan berlaku kerjasama antara beliau, Ahmad Zahid dan Mohd. Shafie bagi mengekalkan gandingan naib presiden sedia ada, Hishammuddin berkata, tiada pasukan tertentu dalam UMNO tetapi mengakui hubungan antara mereka memang rapat sejak dahulu.

"Kalau itu (hubungan rapat) merupakan satu kekuatan dan membantu parti, saya rasa boleh diteruskan. Namun, hubungan kami bertiga bukan hanya dalam konteks pertandingan. Kerjasama untuk mengejar jawatan bukan cara kita, hubungan kami menyeluruh," katanya.

Mengenai pendirian peribadi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar gandingan beliau bersama Ahmad Zahid dan Mohd. Shafie dikekalkan demi menjaga perpaduan dan keutuhan parti, Hishammuddin berkata, beliau mewakili rakan sejawatannya berterima kasih.

"Kalau Tengku Adnan kata begitu, kami berterima kasih tetapi kejar jawatan semata-mata tidak membawa erti jika tidak bersandarkan kesedaran bahawa menang atau kalah semua kita yang menawarkan diri perlu bertanggungjawab untuk memastikan UMNO terus kuat," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment