My Add

Thursday 15 August 2013

Hukuman gantung lima termasuk tiga beradik warganegara Mexico kekal

PUTRAJAYA, RABU, 14 Ogos, 2013: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan serta hukuman gantung lima lelaki, termasuk tiga beradik warga Mexico, kerana mengedar lebih 29.4 kilogram dadah jenis methampetamine yang dianggar bernilai hampir RM44 juta pada 2008.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azahar Mohamed membuat keputusan itu sebulat suara selepas menolak rayuan pemandu kren yang juga rakyat Malaysia, Lee Boon Siah, 49, tukang cat warga Singapura, Lim Hung Wang, 56, serta tiga beradik berkenaan iaitu Jose Regino Gonzales Villarreal, 34, Simon Gonzales, 37, dan Luis Alfonso Gonzales, 45.

Dalam penghakimannya, Hakim Azahar berkata, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan kesemua perayu mengedar dadah berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan hujah kedua-dua pihak, keputusan hakim Mahkamah Tinggi berhubung pembabitan kesemua perayu dalam pengedaran dadah berkenaan adalah betul dan konsisten dengan bukti yang dikemuka.

''Kami mendapati rayuan ini tiada merit. Oleh itu, kami mengekalkan sabitan dan hukuman mati kelima-lima perayu,'' katanya.

Selain Hakim Azhar, panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Datuk Hamid Sultan Abu Backer.

Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Baharu mendapati kesemua tertuduh bersalah melakukan perbuatan itu di kilang IPL Packaging Industries Sdn Bhd, Jalan Idaman 1/5, Taman Perindustrian Senai pada 3.15 petang, 4 Mac 2008.

Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa berdasarkan bukti, adalah jelas kilang berkenaan digunakan untuk memproses dadah jenis methamphetamine.

Keputusan itu juga menyaksikan Mahkamah Tinggi buat pertama kalinya meneroka bidang baharu dalam perundangan berkaitan definisi pemprosesan dadah bagi tujuan pengedaran.

Peguam Kitson Foong mewakili Boon Siah dan tiga beradik warga Mexico, Hung Wang oleh Rosal Azimin Ahmad manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment