My Add

Friday 23 August 2013

Huru-hara di Mesir dijangka berpanjangan
PETALING JAYA, KHAMIS, 22 Ogos, 2013: Kecelaruan politik dan situasi tidak menentu di Mesir dijangka berpanjangan jika bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi tidak dibebas dan dikembalikan hak berkuasa yang dikecapinya menerusi pilihan raya pada Jun tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan bekas Duta Palestin ke Malaysia, Tan Sri Ahmad Al Farra yang turut menegaskan tindakan kekerasan pihak tentera terhadap penyokong Mohammed Mursi khususnya penahanan beberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin perlu dihentikan.

Beliau turut menolak sebarang pandangan yang melabelkan Ikhwanul Muslimin sebagai pengganas dan meminta semua pihak di Mesir ‘menghormati’ serta menerima keputusan pilihan raya lalu yang berpihak kepada Mohammed Mursi.

Walau bagaimanapun menurutnya, Mohammed Mursi dilihat sukar untuk kembali berkuasa disebabkan tentangan pelbagai pihak termasuk pelobi-pelobi zionis terhadap bekas pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin itu.

“Saya rasa kerajaan campuran perlu dibentuk dengan penglibatan Ikhwanul Muslimin selain membebaskan semua tahanan politik dan mengembalikan semula demokrasi di Mesir.

“Tetapi demokrasi yang bagaimana? Demokrasi itu antaranya kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan penerimaan terhadap keputusan pilihan raya. Kalau tiada penerimaan itu, konflik akan berterusan dan Mesir tidak akan stabil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Antarabangsa Kejatuhan Mursi dan Masa Depan Mesir di Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia di sini hari ini.

Ribuan rakyat Mesir dilaporkan terkorban dalam konflik terbaharu di negara itu dan keadaan semakin meruncing kerana kedua-dua pihak yang bertembung iaitu tentera Mesir dan Ikhwanul Muslimin mempunyai pegangan pendirian yang berbeza serta ekstrem. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment