My Add

Friday 23 August 2013

Pembinaan kapal pengorek terbesar Asia beri impak ekonomi negara - PM

 *NAJIB bersama Rosmah Mansor melihat kapal pengorek Inai Kiara bergerak ke laut selepas merasmi dan melancarkan kapal tersebut di Pelabuhan Klang, Selangor, semalam.
PELABUHAN KLANGKHAMIS, 22 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelancaran kapal Inai Kenanga, kapal pengorek terbesar di Asia dan ketiga terbesar di dunia, memberi impak besar kepada ekonomi negara khususnya dalam usaha mentransformasi negara menjadi negara maju.

Menurut Perdana Menteri, inisiatif yang boleh dikategorikan sebagai projek berimpak tinggi itu juga selaras dengan pelan transformasi ekonomi negara.

Beliau berkata, sektor maritim khususnya yang melibatkan kerja pembinaan kapal dan penyelenggaraan kapal adalah satu daripada industri yang diberi keutamaan oleh kerajaan.

"Tentu sekali tidak terfikir dan terlintas bahawa sebuah syarikat tempatan mampu melahirkan kapal yang diiktiraf sebagai terbesar di Asia dan ketiga terbesar di dunia.

"Hari ini apa yang kita tak terfikir boleh menjadi realiti (apabila) sebuah kapal yang begitu besar (dibina) dan menjadi kapal yang boleh menjadi kebanggaan kita," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kapal berkenaan di Pantai Acheh, Pulau Indah di sini hari ini.

Pelancaran kapal Inai Kenanga itu disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Inai Kenanga dibina dengan kos hampir mencecah RM1 bilion dan mempunyai harga pasaran sebanyak RM1.2 bilion. Ia dibina dalam tempoh 30 bulan dan akan siap sepenuhnya penghujung tahun ini.

Kapal itu berfungsi seperti penyedut hampasan apabila pasir atau mendakan beserta air laut disedut ke dalam takungan kapal menggunakan paip penyedut.

Kapal pengorek yang dibina menggunakan tenaga kerja dan kepakaran tempatan itu, mempunyai kapasiti membawa muatan dalam takungan sebanyak 33,335 meter persegi (m3) dan panjangnya mencecah 200 meter serta lebar 36 meter.

Kapal yang dibina oleh limbungan Selat Melaka Shipbuilding Corporation Sdn Bhd (SMSCSB), sebuah anak syarikat milik penuh Inai Kiara Sdn. Bhd. (IKSB) itu, boleh mencapai kelajuan 17 knot dan membuat kerja pengerukan sehingga kedalaman 45 meter.

Najib berkata, pembinaan kapal sebesar itu juga akan memberi peluang pekerjaan kepada ramai anak muda, bukan sahaja untuk mengendalikannya malah dapat memasarkan kepakaran mereka ke luar negara.

"Sudah tentu kapal yang sebegini besar memerlukan kepakaran yang tinggi, Syarikat Inai Kiara melatih para pekerjanya dengan memberi latihan dalam bidang yang memerlukan pengkhususan tinggi.

"Saya difahamkan bahawa pengkhususan seperti ini boleh memperoleh pendapatan mencecah RM80,000 sebulan di pasaran dunia dan ada antara mereka yang telahpun dilatih oleh syarikat ini, mendapat pekerjaan yang begitu lumayan sekali di luar negara," katanya.

Beliau berkata, kerja untuk mendalamkan kawasan pelabuhan dan sebagainya dapat dilakukan dengan kadar yang lebih efisien dengan menggunakan kapal bersaiz besar.

"Dengan ini Syarikat Inai Kiara boleh mengambil bahagian dalam proses bidding di peringkat antarabangsa dengan menawarkan harga yang lebih kompetitif lagi dan saya percaya masa depan syarikat ini amat baik sekali," katanya. — BERNAMA 

No comments:

Post a Comment