My Add

Thursday 1 August 2013

Inkues kematian mangsa runtuhan penebat kilat 2-6 Sept.

GEORGE TOWN, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Inkues bagi mengesahkan kematian seorang penjual nasi, Lim Chin Aik yang dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister, di sini ditetapkan dari 2 hingga 6 Sept depan, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Jabatan Peguam Negara bersetuju mengadakan inkues berhubung kejadian itu setelah dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya.

"Keluarga Lim telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pegawai penyiasat.

Beberapa saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu di mahkamah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Difahamkan inkues itu juga bagi membolehkan sijil kematian dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, selain bertujuan memudahkan urusan tuntutan insurans oleh keluarga mangsa.

Pada kejadian ribut 13 Jun lepas, Lim, 44, dikhuatiri tertimbus di dalam tanah setelah pasukan mencari dan menyelamat menemui beberapa cebisan sebuah kereta Honda City berwarna kelabu yang terbenam di kawasan runtuhan itu dua hari selepas kejadian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, kemudian mengesahkan nombor casis kereta yang terbenam itu sepadan dengan kereta milik mangsa yang dilaporkan hilang sejak hari kejadian selepas keluar untuk mengambil anaknya di sekolah.

Susulan itu, pihak berkuasa memulakan operasi mencari dan mengesan mangsa, tetapi operasi terpaksa dihentikan sepenuhnya pada 17 Jun bagi mengelak struktur bangunan warisan di kawasan tersebut terjejas.

Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, apabila lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat Menara Umno runtuh.

Dalam perkembangan lain, Gan berkata polis merampas 91 komputer bernilai kira-kira RM300,000 yang diubah suai menjadi mesin judi dalam 'Ops Dadu' bersepadu yang dilancarkan sejak 24 Julai sehingga semalam.

Katanya, sepanjang operasi yang dijalankan di beberapa lokasi tumpuan kaki judi seperti Jalan Pattani, Lebuh Macallum, Sungai Nibong, Air Itam, Batu Ferringhi itu, polis menahan 22 pemain judi termasuk tiga warga Myanmmar dan sembilan pemilik premis berusia antara 23 dan 39 tahun.

Beliau berkata, polis akan menggempur pusat permainan judi berkomputer dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan perjudian haram di daerah ini.

Katanya, pemilik premis boleh didakwa mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala pemain judi pula ditahan mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment