My Add

Monday 26 August 2013

Isu anak tidak sah taraf perlu ikut hukum syarak

KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Penyelesaian melibatkan isu anak-anak Islam yang tidak sah taraf perlu dibuat berlandaskan hukum syarak kerana dibimbangi akan memberi kesan buruk kepada kepentingan ummah.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, ada sesetengah pihak melihat isu nama bukan perkara besar, namun di dalam agama Islam, perkara tersebut mempunyai implikasi cukup besar.

Jelasnya, sekiranya anak tidak sah taraf dibenarkan menggunakan nama ayah sebenar di dalam sijil kelahiran, pelbagai masalah akan timbul termasuk dalam urusan mewalikan anak perempuan serta pembahagian harta pusaka seperti termaktub dalam hukum Allah.

"Jika si bapa mewalikan anak perempuan tidak sah taraf, status perkahwinan anak itu akan menjadi tidak sah di sisi syarak.

"Saya yakin undang-undang berkaitan kepentingan Islam tidak akan dipinda sesuka hati melainkan mendapat terlebih dahulu pandangan mereka yang pakar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berkata, akan mencari penyelesaian segera berhubung isu anak-anak Islam tidak sah taraf yang dinafikan hak untuk mempunyai nama bapa mereka dicatatkan pada sijil kelahiran.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman juga mencadangkan agar anak-anak tidak sah taraf itu diberikan nama ayah menggunakan nama-nama sifat Allah contohnya seperti Abdullah dan Abdul Rahman.

Jelas beliau, memang ada anak-anak tersebut langsung tidak diberikan nama bapa sehingga memberi kesan buruk kepada mereka.

"Saya melihat perkara ini boleh diselesaikan dengan mewajibkan di dalam semua anak-anak tidak sah taraf ini mempunyai nama ayah menggunakan nama sifat Allah.

"Selain itu, tidak membenarkan ruangan nama bapa dibiarkan kosong sehingga terpaksa diletakkan tiada maklumat di dalam sijil kelahiran mereka," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment